Categories
SELANGOR

Pengusaha kilang digesa bayar premium tukar status tanah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Kesemua pengusaha kilang di Kampung Baru Kwan Tung, Kajang digesa membuat bayaran premium tanah yang sedang diduduki bagi membolehkan penukaran status daripada zon pertanian kepada zon perindustrian.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki berkata, gesaan itu terpaksa dibuat memandangkan ada pengusaha yang enggan membuat bayaran sehingga menyukarkan penukaran status tanah, di situ.

“Jika mereka masih berdegil dengan tidak membuat bayaran premium ini, berkemungkinan pengusaha terbabit akan kehilangan hak milik tanah yang sedang diduduki.

“Malah, menjadi tidak adil kerana ada di antara mereka yang sanggup membuat bayaran terbabit.

“Jika penukaran status tanah tidak dibuat segera, kita bimbang apabila berlaku bencana sehingga menyukarkan pengusaha kilang itu sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 80 kilang di Kampung Baru Kwang Tung yang dibina lebih daripada 30 tahun.

Katanya, ada di antara mereka yang menjalankan perusahaan antaranya membuat perabot dan kaca.

“Isu ini perlu diselesaikan segera memandangkan sudah berlarutan sejak sekian lama, oleh sebab itu saya akan menulis surat kepada Kerajaan Negeri untuk bersama mencari penyelesaian,” katanya.