Categories
SELANGOR

Terjah kawasan ‘hotspot’ cegah denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 26 JAN: Ekoran wabak denggi yang semakin meningkat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang akn menerjah kawasan yang disyaki punca penularan penyakit itu.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, operasi itu akan dijalankan di sekitar premis persendirian terutama yang beroperasi tanpa lesen dan kawasan perumahan bertujuan memantau kebersihan.

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kesihatan Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Jabatan Alam Sekitar.

“Kita sedang giat membanteras masalah denggi kerana DUN Pelabuhan Klang adalah kawasan paling serius mencatatkan kes denggi sehingga meragut tiga nyawa.

“Jadi, saya ambil inisiatif ini supaya masyarakat memandang serius isu denggi selain menjalankan kerja pembersihan kawasan persekitaran bagi mengelakkan wabak itu terus menular,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan banteras denggi bersama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di Flat Sri Bahtera, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau meminta jasa baik daripada semua penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga kebersihan persekitaran.

“Saya optimis penduduk memandang serius isu denggi, sekali gus mengambil langkah pencegahan mulai hari ini,” katanya.