Categories
NASIONAL

Tunggakan cukai pendapatan, GST dibayar semula berperingkat

PUTRAJAYA, 18 JAN: Kerajaan kini dalam proses membayar semula tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion, membabitkan cukai pendapatan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tunggakan terdiri daripada RM18 bilion cukai pendapatan dan RM19 bilion bagi GST berdasarkan anggaran dibuat dalam Belanjawan 2019, akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 bulan.

“Kami akan memulakan proses pembayaran balik tetapi ia tidak akan dikembalikan sekali gus kerana ia akan menjadi angka yang sangat besar.

“Kami tidak membayarnya lagi tetapi kami berhasrat untuk berbuat demikian dalam tempoh 10 bulan tahun ini,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, keputusan untuk tidak membayar tunggakan itu secara sekali gus ekoran berpendapatan ia langkah tidak baik.

“Sekiranya kami membayar balik sekali gus, saya tidak fikir ia baik dan bank kami akan berkata, kenapa anda tidak menyebarkannya supaya anda boleh mendapat kesan pengganda sepenuhnya serta meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.