Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

MBPJ terima pengiktirafan UNESCO dalam sektor pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus melakar rekod tersendiri apabila diiktiraf antara 10 pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Pendidikan Sains dan Kebudayaan pada tahun ini.

Jurucakap MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diberi susulan pencapaian dan kemajuan bandar raya terbabit, khususnya dalam sektor pendidikan.

Katanya, anugerah berkenaan akan disampaikan di Persidangan Antarabangsa Bandar Pembelajaran di Medelin, Colombia, pada Oktober ini.

“Terdapat sebanyak 101 sekolah rendah dan menengah, 182 pra sekolah dan 45 institusi pengajian tinggi serta enam perpustakaan komuniti di sekitar Petaling Jaya yang dikendalikan MBPJ.

“Selain Petaling Jaya, anugerah ini turut diberikan kepada Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sonderborg (Denmark),” katanya dalam kenyataan.

Mengangkat matlamat menjadikan bandar raya itu sebagai bandar pembelajaran sepanjang hayat diiktiraf UNESCO, MBPJ memaklumkan, pihaknya juga menjalin kerjasama strategik dengan Kolej Saito dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Katanya, persefahaman itu adalah dengan memfokuskan pendidikan secara formal termasuk peluang biasiswa kepada penduduk khasnya di Petaling Jaya yang melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan.