Categories
SELANGOR

Ganja: Tunggu masa KDN buat keputusan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat keputusan sama ada membenarkan penanaman ganja spesis hemb untuk tujuan perubatan atau sebaliknya.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia selepas satu mesyuarat yang dihadiri beliau beberapa bulan lalu membabitkan beberapa pakar, Menteri-Menteri Persekutuan seperti Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertanian.

“Dalam mesyuarat itu, dibentangkan oleh pakar-pakar yang menganggarkan (hemb) mampu memberi pulangan 4 juta dolar Amerika Syarikat atau RM16 juta bagi setiap ekar setahun.

“Bagaimanapun ini melibatkan isu keselamatan. KDN pun sedia maklum perkara ini dan akan membuat keputusan sama ada membenarkan menanam hemb ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai jangan terkeliru berikutan terdapat dua spesis dalam keluarga ganja atau nama saintifiknya kanabis iaitu spesis jantan yang dipanggil hemb dan spesis betina yang terkenal dengan nama marijuana.

Katanya, walaupun mempunyai rupa yang sama tetapi Marijuana mampu membuat seseorang khayal berbanding hemb tidak memberi kesan khayal.