Categories
SELANGOR

Orang ramai dijemput meriahkan Karnival Wanita DUN Bukit Melawati

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Wanita bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dataran D’Anjung Santai Kuala Selangor, di sini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, karnival itu akan berlangsung pada 30 hingga 31 Mac ini dari 9 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan khas untuk kanak-kanak dan wanita pelbagai peringkat usia.

“Saya menjemput orang ramai terutama yang berada di Kuala Selangor dan seluruh rakyat di negeri ini hadir dan turut serta dalam program yang disediakan pada hari terbabit,” tulisnya di Facebook.

Antara pengisian menarik pada karnival itu adalah pemeriksaan kesihatan am, forum pencegahan keganasan terhadap wanita, perkongsian berkenaan pencegahan gangguan seksual terhadap wanita dan bengkel membuat aneka roti.

Selain itu, turut diadakan tutorial penjagaan kulit dan mekap, bengkel membuat kraftangan bakul, senamrobik dan zumba serta pemeriksaan mammogram percuma.

Antara lain turut diadakan kaunter pendaftaran program Insentif Peduli Rakyat Selangor seperti Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Bantuan Sihat Selangor.

Manakala, pertandingan mewarna turut diadakan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun ke bawah.

Turut diadakan kaunter bertemu pelanggan oleh jabatan kerajaan anjuran Yayasan Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Air Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.