Categories
SUKANKINI

Presiden BWF harap Chong Wei layak ke Olimpik Tokyo 2020

ABU DHABI, 19 MAC: Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul-Erik Hoyer Larsen berharap jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei kembali beraksi dalam kejohanan kompetitif secepat mungkin bagi merealisasikan impiannya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Harapan dan doa saya untuk Chong Wei mencapai impiannya dan saya tahu keazamannya untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Setulus hati ,saya harap beliau akan mencapainya. Saya faham keadaan sukar yang dilaluinya dan ingatan saya sentiasa bersamanya dalam usaha beliau untuk layak ke Tokyo,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sukan Olimpik Khas Musim Panas Sedunia 2019, di sini, semalam.

Chong Wei, 37, terpaksa berehat panjang selama lapan bulan selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini berada di Taiwan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabangsa bermula pada Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April ini.

Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi pada 1 April 2019 hingga 26 April 2020.

Semasa tempoh berehat, ranking Chong Wei jatuh ke tangga ke-41 dunia dan pemain itu perlu kembali dalam saingan kompetitif memandangkan hanya 38 pemain ranking terbaik dunia layak untuk beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-BERNAMA