Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Speaker tidak teragak-agak bertindak tegas terhadap ADN cemar DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor disarankan supaya tidak menimbulkan isu sensitif dan melakukan provokasi yang menyentuh sensitiviti perkauman serta agama ketika berbahas.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Sue Lim berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ADN yang sengaja memainkan sentimen terbabit, tidak menghormati DNS dan kesalahan lain yang melanggar peraturan tetap.

Sebaliknya beliau berkata, semua ADN perlu memberi tumpuan kepada isu yang menyentuh kepentingan negeri dan kawasan masing-masing.

“Saya sebagai Speaker juga menasihat ADN sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang lebih pro aktif dan berbahas dengan sopan, beradab, displin serta mengikut Peraturan Tetap DNS 1965.

“Kita juga boleh elak daripada menjadikan kemuliaan dewan ini sebagai medan provokasi, kebencian dan sentimen perkauman bagi menimbulkan kebencian antara kaum. Saya harap ADN perlu mengambil perhatian dan elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor di Pejabat Speaker sebaik selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal kedua DNS Yang Ke-14 Tahun 2019, di sini, hari ini.

Katanya, ADN boleh menjadikan DNS sebagai institusi legislatif penggubal undang-undang yang unggul dengan melontarkan cadangan, idea bernas dan membina supaya sama-sama membantu membangunkan Selangor.

“Kita mahu tumpukan kepada isu, masalah kawasan, masalah negeri dan juga memberi kritikan membina terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan kerana ini penting dalam usaha kita menjadikan DNS sebagai peneraju institusi legislatif, di Malaysia,” katanya.