Categories
SELANGOR

ADN optimis isu infrastruktur Kuala Langat dipertingkat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APRIL: Masalah infrastruktur di daerah Kuala Langat diharap dapat ditingkatkan selaras statusnya yang bakal dinaik taraf kepada perbandaran, tahun ini.

Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San berkata, langkah itu penting bagi memberi tarikan kepada orang luar untuk hadir ke daerah berkenaan, pada masa akan datang.

Katanya, beliau optimis Kerajaan Negeri memberi fokus sewajarnya bagi menyelesaikan isu penyelenggaraan jalan dan infrastruktur di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat dalam masa terdekat.

“Isu yang kita hadapi di setiap daerah Kuala Langat ini kebanyakan sama antaranya masalah infrastruktur seperti jalan raya, jalur lebar, dewan orang ramai dan pelbagai kemudahan awam yang sememangnya perlu dipertingkatkan.

“Oleh itu, saya optimis Kerajaan Negeri dapat memfokuskan isu itu, sekali gus membawa lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan ke daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Tanah / Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Terdahulu, MMKN itu dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersempena siri Jelajah Maju Bersama ke Kuala Langat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron dan EXCO Kerajaan Negeri.