Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bazar usahawan bersama pemaju perlu dicontohi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 APR: Kerjasama pemaju perumahan dengan Yayasan Hijrah Selangor menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan di sesuatu projek pembangunan baharu adalah usaha boleh dicontohi semua pihak.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited melahirkan lebih ramai golongan usahawan khususnya yang tinggal di bandar untuk mencari peluang bagi menambah sumber pendapatan.

Katanya, peningkatan kos sara hidup tinggi di Lembah Klang menjadi faktor mencari sumber pendapatan tetap atau sampingan.

“Terima kasih pihak pemaju Radia, Sime Darby Properties dan UEM Sunrise Berhad kerana memberi peluang peniaga mempamerkan produk perniagaan mereka.

“Saya berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan di kawasan lain juga bagi menarik pengunjung selain memberi manfaat kepada pihak pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program Bazar Usahawan Radia di Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Haniza yakin dengan kemampuan Yayasan Hijrah Selangor melahirkan usahawan tempatan yang berjaya berdasarkan prestasi ditunjukkan sebelum ini.

“Hijrah adalah badan mikrokredit dengan prestasi membanggakan, membantu peniaga mendapatkan pembiayaan dengan syarat yang mudah.

“Dengan adanya program begini, ia adalah strategi baharu untuk terus berkembang dan menjana pendapatan usahawan kecil selain memberi nilai tambah kepada pemaju,” katanya.