Categories
NASIONAL

DAP yakin kemampuan Vivian tambat hati pengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 28 APR: DAP yakin calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Vivian Wong Shir Yee mampu mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Naib Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, Vivian sebelum ini kerap mengikuti mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt turun padang menyelesaikan pemasalahan di kawasan parlimen terbabit.

“Vivian adalah anak kepada mendiang Steven yang meninggal di mana saya dimaklumkan beliau selalu mengikuti ayah beliau beberapa bulan sebelum pemergian ayahnya.

“Vivian ini adalah calon yang tepat kerana beliau faham keadaan akar umbi dan keadaan tempatan,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi Peringkat Negeri Selangor di Padang Chetty di sini, malam tadi.

Terdahulu pada Penamaan Calon PRK Parlimen Sandakan semalam menyaksikan pertandingan lima penjuru apabila Vivian bakal ditentang oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

Anak bongsu mendiang Stephen itu akan ditentang Naib Presiden PBS yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin.

Sementara itu tiga calon bebas adalah Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Mei.

Foto Kredit: FB Vivian Wong