Categories
NASIONAL

Lynas langgar undang-undang penyimpanan sisa buangan

KUANTAN, 17 APRIL: Kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) disifatkan melanggar undang-undang daripada segi penyimpanan sisa buangan dengan menyimpan sisa buangan terjadual, di kawasan kilang mereka dalam kuantiti amat besar dan dalam tempoh lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, sehingga Disember 2018, Lynas mengumpul 1.13 juta tan sisa buangan ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) dalam tempoh enam tahun pengoperasiannya, dengan sisa terbabit disimpan di tepi kilang.

“Sedangkan jika mengikut Peraturan 4: Pelupusan Buangan Terjadual dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, kuantiti bahan buangan terjadual yang dikumpulkan di tapak tidak melebihi 20 tan metrik selama 180 hari atau kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan ulasan berkenaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pejabat JAS Negeri, di sini hari ini.

Katanya, laporan EIA tidak memenuhi kriteria diperlukan untuk memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar dijaga memandangkan kawasan tapak pelupusan sisa NUF yang terletak di Gebeng.

“Gebeng adalah sebuah kawasan tapak industri, bukannya tapak pelupusan bagi sisa buangan NUF ini. Maka, sisa NUF ini tidak sepatutnya berada di kawasan perindustrian Gebeng, justeru laporan EIA ini wajar ditolak kerana ia dilihat tidak memenuhi kriteria yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada mana-mana pihak.

“Kita akan menilai maklum balas diterima dan jika ada kesahihan, kita akan mengambil peruntukan undang-undang bagi penambahbaikan.

“Jika ada kaitan dengan jabatan lain, kita akan membawa perkara berkenaan ke pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini JAS Pahang menerima serahan maklum balas berkaitan Laporan EIA yang kebanyakannya terdiri daripada individu perseorangan.

“Maklum balas ini bagi melihat sama ada laporan EIA dikeluarkan baru-baru ini boleh diterima atau perlu penambahbaikan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memberikan maklum balas di mana tempoh yang diberikan bermula awal April sehingga 19 April ini,” katanya. -BERNAMA