Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB umum tiga pelantikan baharu di peringkat PBT, GLC

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa pelantikan baharu di peringkat tinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memantapkan tahap pencapaian serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lantikan itu diyakini dapat memberikan impak terbaik untuk merealisasi harapan rakyat dan negeri ke arah Negeri Pintar, menjelang 2025.

Katanya, antara yang dilantik ialah mantan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dengan menjalankan tugas mulai 1 April 2019 (Surat JPA berkuat kuasa 15 Mac 2019).

“Turut dilantik mantan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Dato’ Mohd Sayuthi Bakar sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya dengan menjalankan tugas mulai 1 April 2019 (Surat JPA berkuat kuasa 15 Mac 2019).

“Manakala mantan Pegawai Daerah Hulu Langat dipilih sebagai Yang Dipertua MPKj dengan menjalankan tugas mulai 1 April 2019 (Surat JPA berkuat kuasa 15 Mac 2019),” katanya.

Pada masa sama, katanya, kejayaan Selangor mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2018 adalah bukti jelas hasil kecemerlangan perkhidmatan kepada rakyat dan pertumbuhan ekonomi meyakinkan.

Amirudin berkata, kejayaan itu adalah manifestasi kecemerlangan perkhidmatan awam yang dipacu di semua peringkat khususnya PBT dan GLC milik Kerajaan Negeri.