Categories
NASIONAL

Pencemaran Arsenik: Kualiti air Sungai Rui dipantau

IPOH, 4 APR: Kerajaan Perak akan terus membuat pemantauan kualiti air secara terperinci di Sungai Rui, Gerik yang dikenal pasti telah tercemar kerana dipercayai mengandungi kandungan arsenik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pencemaran itu telah dikenal pasti menerusi pemantauan kualiti air oleh Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar di sungai berkenaan, baru-baru ini.

“Kualiti air di Sungai Rui mengalami tahap kekeruhan atau kelodakan, nilai pH dan kehadiran logam berat di sungai tersebut berpunca daripada aktiviti perlombongan selain aktiviti pertanian, pembalakan dan pembinaan yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

“Walaupun pencemaran itu belum sampai ke tahap yang kronik, namun kerajaan negeri mengambil langkah-langkah awal supaya kita dapat mengawal pencemaran sungai itu daripada terus berlaku,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri akan meminta kerjasama kerajaan persekutuan dari segi kepakaran dan peruntukan bagi melakukan kerja-kerja penbersihan yang tercemar dengan sisa bahan logam, timbunan kayu dan sampah sarap di sekitar kawasan sungai tersebut.

“Saya harap penduduk di kawasan persekitaran Sungai Rui tidak panik kerana kerajaan negeri sedaya upaya memulihkan semula pencemaran air sungai yang berlaku di kawasan itu.

“Namun, pada masa yang sama kita juga akan mengambil langkah-langkah tertentu sebelum kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan supaya penduduk di kawasan itu tidak mengalami pelbagai simptom yang serius seperti kegatalan kulit,” katanya.

– BERNAMA