Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Percubaan Najib di saat akhir untuk tangguh bicara SRC gagal

KUALA LUMPUR, 3 APR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi gagal untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan ia dimulakan hari ini sebagaimana dijadualkan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib supaya notis usul bagi mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai cacat, didengar dahulu, sebelum perbicaraan bermula.

“Itu (usul berkenaan) boleh didengar pada tarikh kemudian,” kata hakim dan memerintahkan perbicaraan dimulakan.

Pada permulaan prosiding, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah memfail usul itu pagi ini dan telah meng-emel salinan kepada pihak pendakwaan.

“Usul ini perlu didengar dahulu, atau pada sebarang masa sebelum perbicaraan bermula, sebelum kita memanggil saksi. Kami telah juga memfail ‘sijil urgency’ pagi ini,” kata Muhammad Shafee.

Peguam Negara, Tommy Thomas membantah permohonan itu, dan berkata, usul itu tidak disampaikan ke pejabatnya secara sempurna dan difailkan pada saat-saat akhir.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan, kita harus memulakan perbicaraan dulu. Kami tidak bersedia untuk ini oleh kerana kami perlu menjawab afidavit kepada usul itu. Tidak ada sebab mengapa sebarang usul mengenai pertuduhan itu perlu dibawa di peringkat ini.

“Jika mereka kata ada yang salah tentang pertuduhan itu, mereka mempunyai banyak masa untuk memfail usul berkenaan oleh kerana kes itu difailkan terhadap tertuduh pada Julai tahun lepas.

“Pastinya bukan pagi ini. Tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat daripada perlakuan ini kecuali mereka cuba melambat-lambatkan perbicaraan,” kata beliau.

Peguam bersama Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, bertindak bagi Najib, juga berhujah mahkamah harus mendengar usul itu dulu oleh kerana perbicaraan akan jadi sia-sia jika mahkamah memihak kepada pembelaan dan meminda pertuduhan.

Mohd Yusof, bekas Peguam Cara Negara II dan pendakwa utama dalam kes Sodomi II Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah tidak wajar dan tidak boleh langsung dikenakan terhadap anak guamnya.

DPP Datuk V Sithambaram membalas hujah bahawa tujuan memfail usul itu oleh pihak pembela adalah untuk menangguhkan perbicaraan.

“Mereka berkata pertuduhan itu lemah. Kami kata pertuduhan itu tidak lemah. Kami menghadapi risiko jika pertuduhan lemah.

“Langkah ini semata-mata untuk melambatkan perbicaraan, dan mahukan perbicaraan itu, sebagaimana mereka nyatakan dalam usul mereka, ditangguh, dibatal atau ditunda,” kata beliau.

Najib, 66, yang duduk dalam kandang orang salah, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalah gunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan mengubah wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA