Categories
NASIONAL

Polis Johor lupus dadah lebih RM20 juta

JOHOR BAHRU, 17 APRIL: Polis Johor hari ini melupuskan barang kes dadah yang dirampas dari tahun 2006 sehingga tahun lalu bernilai RM20.61 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, ACP Lukas Anak Aket berkata, pelupusan barang kes itu membabitkan 159.07 kilogram (kg) dan 42.30 liter pelbagai jenis dadah yang selesai diproses analisis kimia dan perundangan.

“Antara barang kes dadah yang dirampas ialah heroin (0.97 kilogram), cannabis (30.95 kilogram), ketamine (116.71 kilogram), MDMA (6.41 kilogram), lain-lain dadah (1.33 kilogram), bahan kimia (2.54 kilogram), codeine (7.60 liter) dan mitragynine (34.76 liter),” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Katanya, jumlah dadah itu hasil daripada 3,874 kes membabitkan tangkapan 5,087 orang.

“Pada 2017, JSJN Johor berjaya melupuskan sebanyak 2,863kg pelbagai jenis dadah manakala tahun lalu, sebanyak 66.43 kg pelbagai jenis dadah dan 60 liter ubat batuk berjaya dilupuskan,” katanya.

Lukas berkata, polis akan melupuskan kesemua bahan itu di pusat pelupusan sisa buangan terjadual di Bukit Pelanduk, Negeri mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

“Oleh itu, komitmen dan usaha dilaksanakan pihak polis dalam memastikan setiap rampasan dadah berjaya dilupuskan akan diteruskan sehingga tiada ruang bagi penjenayah dadah untuk menjalankan aktiviti haram mereka,” katanya.-BERNAMA