Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tidak pernah mansuh SMUE

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR: Kerajaan Selangor tidak pernah memansuhkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) seperti yang didakwa segelintir pihak, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebaliknya pengumuman pemberian baucar Jom Shopping kepada peserta SMUE adalah untuk lebih menghargai penat lelah golongan itu yang banyak berjasa kepada negeri ini.

Katanya, pemberian baucar itu bagi mengantikan bantuan khairat kematian SMUE yang hanya ditujukan kepada waris sahaja.

“Hakikatnya SMUE adalah program untuk warga emas, kita mahu menghargai mereka ketika masih hidup dan bukannya memberi sumbangan setelah mereka tiada dengan memberikan wang menguruskan jenazah dan juga keranda apabila meninggal dunia.

“Inisiatif ini diambil hasil pertemuan dengan warga emas beberapa bulan lepas, tetapi ada yang salah faham seolah-olah Kerajaan Negeri batalkan program berkenaan, sedangkan tidak,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2018 bagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, buat masa ini Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM100 setahun kepada warga emas seluruh Selangor.

“Sekiranya kewangan negeri bertambah baik, kita akan tambah baik program ini pada masa hadapan.

“Ini memperlihatkan Kerajaan Selangor sentiasa prihatin kepada rakyatnya dari seawal usia kelahiran hingga ke peringkat warga emas,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian baucar Jom Shopping kepada peserta bawah SMUE bermula Oktober sebagai ganti pembayaran khairat kematian kepada waris peserta skim terbabit.

Program yang memperuntukkan RM20 juta setahun itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga emas semasa mereka masih hidup berbanding manfaat diterima mereka sebelum ini.

Program ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri ketika mereka masih hidup.