Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Speaker bantu atasi ADN lemah berbahas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) mengambil langkah proaktif melatih pembantu dan pegawai penyelidik Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi memantapkan lagi mutu perbahasan wakil rakyat, di negeri itu.

Ng Suee Lim berkata, Bengkel Penyelidik Efektif itu dianjurkan bersama Institusi Darul Ehsan (IDE) bermula 9 pagi hingga 5.30 petang, di Bilik Gerakan DNS.

“Selangor mempunyai ramai ADN baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, oleh itu tahap perbahasan ADN kerajaan dan pembangkang memuaskan, namun boleh diperbaiki dari masa ke masa.

“Saya sendiri menjadi ADN Sekinchan sejak 2004, kebiasaannya wakil rakyat baharu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun atau satu penggal untuk menyesuaikan diri dengan tatacara sidang DNS.

“Setakat ini, sesi perbahasan mereka memuaskan, namun masih ada ruang untuk meningkatkan kualitinya dan disebabkan itu, wakil rakyat disaran memanfaatkan khidmat pembantu serta penyelidik dalam meningkatkan ilmu mereka untuk melontarkan input yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel berkenaan di Bilik Gerakan, DNS, Bangunan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, sebagai peneraju dewan negeri, pembantu dan penyelidik ADN perlu dilatih serta dipersiapkan dengan ilmu supaya menjadi golongan efektif kepada wakil rakyat, seterusnya memantapkan lagi DNS.

Katanya, tugas pembantu dan penyelidik bukan sahaja menguruskan jadual ADN tetapi membantu mencari data serta maklumat untuk mempersiapkan wakil rakyat dengan informasi khususnya semasa sidang DNS.

“Apabila rang undang-undang dibahaskan, pelbagai maklumat perlu dicari kerana apa-apa polisi kerajaan akan beri impak kepada rakyat.

“Oleh itu, kualiti perbahasan ADN harus memberi manfaat dan membantu kerajaan untuk merangka polisi terbaik. Jadi, tugas dan peranan pembantu ADN khususnya di Selangor semakin besar tanggungjawabnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran bengkel berkenaan akan memberi peningkatan kepada kualiti perbahasan pada sidang DNS, pada Julai ini.