Categories
NASIONAL

Anwar Ibrahim bertemu PM bincang isu dalam dan luar negara

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya untuk berbincang mengenai beberapa isu mendesak dalam dan luar negara.

“Bertemu Tun Dr Mahathir. Saya merujuk kebimbangan PKR dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam terhadap ancaman Amerika Syarikat (AS) terhadap kepimpinan Iran.

“Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas dengan menolak sebarang provokasi kepada seluruh negara Islam,” kata Anggota Parlimen Port Dickson itu dalam satu kenyataan.

Dilapor Presiden AS Donald Trump memberi amaran Iran akan musnah sekiranya Teheran menyerang kepentingan Washington.

Amaran Trump itu dikeluarkan susulan serangan terhadap aset minyak Arab Saudi pada minggu lalu dan serangan roket ke dalam Zon Hijau di Baghdad, Iraq yang menempatkan banyak bangunan kerajaan serta kedutaan.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut Anwar memaklumkan Perdana Menteri bahawa beliau akan menunaikan umrah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pada masa sama akan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-14 di Makkah pada 31 Mei ini.

Menurut kenyataan ringkas itu lagi, perkembangan politik semasa turut disentuh ketika pertemuan kedua-dua pemimpin itu. -BERNAMA

 

Foto Ihsan Facebook  Anwar Ibrahim