Categories
NASIONAL

BN batal rizab tanah Taman Tasik Taiping untuk komersial

TAIPING, 25 MEI: Kerajaan Perak pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini didakwa membatalkan rizab tanah seluas 8.04 hektar di Taman Tasik Taiping di sini untuk dibangunkan bagi tujuan komersial.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming ketika mendedahkan perkara itu berkata pembatalan rizab tanah terlibat yang dianggar bernilai RM50 juta sebagai taman reakreasi dibuat Kerajaan Negeri pada 1 Mac 2017.

“Pembatalan ini untuk pembangunan komersial akan memberikan impak kepada Taman Tasik Taiping yang merupakan tapak warisan negara.

“Sekiranya kita tidak dedahkan dan (tanah) dijadikan pembangunan komersial kita bimbang Taman Tasik Taiping yang tersohor seluas 200 ekar (80 hektar) akan tinggal tasik sahaja diambil oleh pihak yang rakus,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Nga, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong berkata, jika pembangunan komersial di kawasan itu diteruskan ia dibimbangi akan menjejaskan status Taiping sebagai antara destinasi terbaik di dunia.

“Kita bimbang pengiktirafan Taiping sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2019 di Berlin, Jerman Mac lepas akan ditarik balik.

Menurut Nga, tapak tanah rizab itu terletak bersebelahan dengan Penjara Taiping.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tanah itu dirizabkan semula dan diwartakan sebagai Taman Tasik Taiping.

Taman Tasik Taiping yang menjadi ikon kebanggaan warisan negara sudah berusia 139 tahun setelah taman itu diwujudkan pada 1880.