Categories
SELANGOR

Klinik Kesihatan di Subang Jaya bermula 2024

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk Subang Jaya akan menarik nafas lega berikutan Klinik Kesihatan Kerajaan akan dibina dan dijangka memulakan operasinya pada 2024.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, permohonan pembinaan klinik itu akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan pada tahun depan di bawah Rancangan Malaysia ke 12.

Katanya, pembinaan dijangka bermula pada 2022 dan siap pada 2024, namun pihaknya akan berusaha untuk memohon supaya pembinaannya dipercepatkan.

“Dengan kos pembinaan sebanyak RM35 juta, ia dijangka mampu menampung 50,000 pesakit,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN), Subang Jaya, Michelle Ng berkata, pembinaan klinik berkenaan sudah tentu mengembirakan penduduk di kawasannya memandangkan klinik kesihatan kerajaan yang terdekat berada di Puchong dan Kelana Jaya.

“Klinik terbabit amat diperlukan ekoran jumlah penduduk dijangka bertambah dari 174,494 pada 2015 kepada 293,209 (2035) dan penduduk berusia 50 hingga 54 tahun meningkat lebih ramai iaitu 82,000,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini pada 2017 melaporkan, mantan ADN Subang Jaya, Hannah Yeoh pernah menggesa Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Barisan Nasional supaya tidak menangguhkan pembinaan Klinik Kesihatan Subang Jaya.

Kelewatan itu dipercayai berlaku disebabkan perbezaan parti politik yang memerintah pada waktu itu.