Categories
RENCANA

Komuniti Rohingya ikat perut demi masa depan anak-anak

IPOH, 30 MEI: Demi melihat anak-anak etniknya memiliki kehidupan sempurna walaupun berstatus pelarian, sekumpulan 11 komuniti Rohingya di sini, sanggup mengikat perut hanya untuk menyediakan pendidikan terbaik kepada bakal pewaris mereka.

Pengerusi Persatuan Rohingya di Malaysia cawangan Ipoh, Mohd Hassan Miya Huson, 35, berkata beliau bersama 10 lagi rakan mengumpul RM700 tiap seorang untuk membuka sebuah sekolah yang dikenali sebagai Darul Hedayah Rohingya Academy di sini pada 11 Mei 2015.

Katanya mereka berazam membuka sekolah seumpamanya di Perak selepas terdapat lebih 50 kanak-kanak Rohingya di negeri ini berumur lima tahun ke atas pada 2013 yang tidak mempunyai pendidikan memandangkan sekolah di negara ini tidak menerima kanak-kanak pelarian.

“Kami faham kerana Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967 sebab itu anak-anak kami tidak boleh bersekolah di negara ini.

“Tahun demi tahun kami cuba dan pada 2015 kami tiada pilihan melainkan mengusahakan sendiri sekolah ini, maka kami buat keputusan untuk kumpul RM700 seorang dan ini sememangnya bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Hassan berkata jumlah RM700 itu bukanlah sesuatu yang kecil bagi mereka yang hanya bekerja di pasar borong di sini dengan pendapatan RM25 sehari.

“Kami susah sangat tapi tiada pilihan demi anak-anak kami. Hari ini mungkin tiada masalah jika mereka tidak bersekolah, tapi masa depan mereka macam mana nanti,” katanya yang berasal dari Rakhine, Myanmar dan sudah 12 tahun berada di Ipoh.

Kini sekolah yang terletak di rumah kedai dua tingkat di Jalan Lahat itu mempunyai 42 pelajar berumur dari 4 hingga 13 tahun, empat guru sukarela selain turut mendapat bantuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta pihak swasta.

Subjek yang diajar adalah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan pelajar turut didedahkan dengan pengajian al-Quran.

Seorang sukarelawan, Hasnizah Jalaluddin, 57, berkata sebagai bekas guru yang bersara pada 2017, pendidikan terutama dalam kalangan kanak-kanak sememangnya menjadi perkara penting bagi dirinya, namun mengakui mendidik kanak-kanak Rohingya itu memberi cabaran baharu buatnya.

“Kita kena guna kaedah dan bahasa yang mudah memandangkan pelbagai lapisan umur kanak-kanak ditempatkan dalam satu kelas. Lain pelajar, lain usia, lain cara mereka nak tangkap apa kita ajar,” kata bekas guru Sekolah Kebangsaan Jelapang itu.

Seorang pelajar, Faruk Abdul Rasid, 11, yang meminati subjek bahasa Inggeris menyatakan rasa seronok dapat belajar perkara baharu setiap hari dan bercita-cita ingin menjadi polis.

Ditanya kenapa dia menanam impian itu, Faruk berkata : “Saya mahu selamatkan keluarga di Myanmar, saya nampak rumah datuk dibakar,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Bagi Mohd Miran Abdul Razak, 12, yang lahir di Pulau Pinang, sekolah itu merupakan tempat yang menyeronokkan baginya kerana selain dapat bermain bersama ramai kawan, dia juga dapat memperbaiki lagi bacaannya.

“Cikgu-cikgu di sini juga baik-baik,” katanya yang turut teruja untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dan akan meraikannya di sini.

-BERNAMA