Categories
SELANGOR

MB gesa pusat tahfiz ambil langkah keselamatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Dato’ Menteri Besar menggesa supaya semua pusat tahfiz di negeri ini mengambil langkah keselamatan sebaiknya.

Amirudin Shari berkata, beliau tidak mahu kes membabitkan kemalangan seperti kebakaran ataupun tanah runtuh kembali berulang.

“Tidak dinafikan kes kebakaran sebelum ini berlaku disebabkan khianat, namun pengurusan pusat maahad tahfiz dinasihatkan supaya membuat pemantauan berterusan.

“Ini kerana kita mahu institusi ini sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan negeri serta diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Zakat Telekom Malaysia (TM) kepada Dato’ Menteri Besar bertempat di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al Habbah, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden TM, Dato’ Zuraidah Mohd Said.

Pada majlis yang sama, TM Selangor turut menyerahkan sumbangan duit raya dan cendemata kepada 82 pelajar tahfiz.

Amirudin berkata, beliau gembira apabila syarikat gergasi negara seperti TM menghulurkan bantuan zakat kepada pusat tahfiz di negeri ini.

“Sumbangan oleh TM ini boleh membantu melengkapkan lagi pembangunan institusi tahfiz ini.

“Usaha mereka untuk berkongsi kekayaan dan hasil pendapatan kepada masyarakat sekali gus dapat menggerakkan kejayaan institusi ini bersama-sama,” katanya.