Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Orang Melayu perlu bersatu, jauhi budaya fitnah – Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya orang Melayu kembali bersatu dan memikirkan punca kelihatan semakin lemah serta longlai di tanah air sendiri dalam arus perkembangan negara masa kini.

Baginda menegaskan, semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan serta generasi akan datang kerana menjadi asas kepada pembangunan sesebuah negara.

Titah baginda, teguran tentang orang Melayu supaya bersatu tidak bermakna baginda ‘racist’ tetapi gejala memfitnah dan pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu secara terbuka dilihat menjadi semacam budaya mutakhir ini.

“Perpecahan orang Melayu dilihat begitu teruk sekali terutama apabila wujud banyak kumpulan yang kononnya berjuang atas dasar kepentingan orang Melayu. Ini ditambah buruk apabila kumpulan-kumpulan ini sering mengecam antara satu sama lain umpama menconteng arang sesama sendiri.

“Perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka sesama kumpulan-kumpulan orang Melayu ini berlaku di mana-mana termasuklah di media-media sosial dan di media arus perdana. Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan yang semakin ketara.

“Gejala fitnah-memfitnah dilemparkan antara satu pihak dengan pihak lain serta perasaan hasad dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan seolah-olah dijadikan semacam satu budaya dalam kalangan orang Melayu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Menyampaikan Sumbangan Hari Raya Beserta Perasmian Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, perpecahan orang Melayu sudah sampai ke tahap membimbangkan dan mendukacitakan baginda tambahan mayarakat Melayu merupakan penganut agama Islam.

Titah baginda, agama Islam sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam diri setiap umatnya tetapi ia seolah-olah tidak diamalkan sedangkan batas-batas agama menghalang perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri.

“Adakah kita mahu melihat satu hari nanti orang Melayu hidup merempat dan menjadi hamba di tanah air tempat tumpah darah kita sendiri? Adakah kita mahu melihat orang Melayu dijajah dari segi agama, ekonomi, kuasa politik, pendidikan, pemikiran dan pelbagai aspek kehidupan yang lain?

“Jika kita tidak berhati-hati dan berterusan bertelingkah dan berpecah, sama ada antara orang Melayu ataupun sesama pemimpin Melayu, maka Beta percaya semua perkara yang Beta sebutkan tadi akan menjadi kenyataan dalam tempoh yang terdekat.

“Beta sebagai Raja di Selangor ini bertanggung jawab dan diamanahkan untuk memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Beta terutama kepada majoriti rakyat Beta berketurunan Melayu yang beragama Islam.

“Beta mahu semua rakyat Beta dapat hidup di negeri Beta dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan Negara secara adil dan sama rata,” titah baginda.