Categories
SELANGOR

PREC sumbang RM5,000 buat Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Maahad Tahfiz Al Iman Wal Mahani Jalan Kebun, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Abd Ghani berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menampung keperluan pelajar di institusi tahfiz yang ditubuhkan sejak 2016.

“Perkara ini biasa dilakukan pihak kami sepanjang Ramadan kerana kita merasakan hanya pendekatan seperti ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka.

“Kita juga akan salurkan sumbangan di rumah tahfiz dan kebajikan lain selepas ini memandangkan sumbangan zakat sememangnya perlu diagihkan oleh syarikat kepada institusi tahfiz yang memerlukan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Musolla Al-Khauthar di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek dan Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PREC, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Fakru Radzi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memilih institusi tahfiz dan rumah kebajikan yang layak menerima sumbangan berkenaan.

“Jadi, mereka (LZS) memajukan rumah tahfiz yang benar-benar memerlukan pertolongan dan kita turut sama membantu institusi tahfiz ini melalui sumbangan zakat,” katanya.

Terdahulu, seramai 31 pelajar tahfiz berkenaan turut menerima sumbangan PREC selain diraikan bersama dalam majlis berbuka puasa sejurus perasmian musolla terbabit.