Categories
NASIONAL

Status Bazar Jalan Raja bergantung pada sambutannya – Khalid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Keputusan untuk mengekalkan bazar Ramadan baharu di Jalan Raja akan diputuskan selepas melihat sambutannya tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, setakat ini program pemindahan tapak bazar itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah tindakan tepat.

“Saya melihat walaupun baru dua minggu menjalani ibadah puasa, tetapi sambutan bazar itu sangat memuaskan.

“Ramai yang hadir semalam, walaupun lagi dua minggu kita menyambut perayaan. Saya menjangkakan lebih ramai akan hadir khususnya minggu terakhir Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jom Shopping Hari Raya Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, di Kemuning Utama, di sini.

Pada masa sama, Khalid berkata, dua masalah yang dikenal pasti iaitu isu takungan air ketika hujan lebat serta sistem pengudaraan di bazar itu sudah diselesaikan.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil keputusan menempatkan peniaga Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan peniaga Masjid India ke Jalan Raja selaras dengan penyusunan yang dirangka.

Bazar Ramadan baharu di Jalan Raja itu menawarkan 344 petak niaga yang lebih luas dan tersusun, sekali gus memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Tapak baharu itu membabitkan tiga lorong jalan raya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Kawasan di situ lebih luas dengan enam lorong tetapi dikhususkan hanya tiga lorong untuk peniaga manakala tiga lagi akan digunakan oleh MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bagi program berbuka puasa pada setiap hari Sabtu.

Foto Sumber: Facebook Khalid Samad