Categories
SELANGOR

Kebajikan rakyat jadi keutamaan – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan Negeri bertekad memastikan kebajikan rakyat di Selangor dibela dan sentiasa menjadi keutamaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sejajar dengan semangat ‘continuation’ (kelangsungan) untuk terus-menerus melaksanakan kebaikan.

“Sepanjang Ramadan saya sering mengungkapkan apa yang dinyatakan Shaykh Abdal Hakim Murad, yang juga dikenali sebagai Dr Timothy Winter mengenai Ramadan sebagai suatu ‘disruption and continuation’, (gugatan dan suatu kelangsungan) kepada rutin seharian kita yang mungkin penuh dengan dosa serta kelalaian kepadaNYA.

“Gugatan terbabit adalah riyadah spiritual untuk melatih diri agar mempunyai kesedaran ketuhanan atau ‘Divine-consciousness’, pengalaman menahan diri daripada lapar dan dahaga, berbuka puasa, solat tarawih, menghidupkan malam memunculkan suatu ‘spiritual intensity’ demi meraih kelazatan pengabdiaan serta keredhaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2019 peringkat Negeri Selangor, di Bulatan Bazarena, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri akan berikhtiar untuk memperbaiki segala kekurangan supaya sentiasa berada di tingkat yang terbaik.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat untuk bersama-sama rakyat jelata di majlis itu.

Lebih 60,000 masyarakat terdiri daripada pelbagai golongan turut mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Kerajaan Negeri itu.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)