Categories
GLOBAL

Kerajaan Australia digesa tangani masalah ‘generasi tergemuk’

CANBERRA, 13 JUN: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison digesa mengambil langkah lebih berkesan bagi menangani masalah obesiti yang kini menjadi epidemik, lapor agensi berita Xinhua, memetik Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Berdasarkan data terbaru Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia (AIHW), 63 peratus golongan dewasa di Australia mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Sementara itu, data berasingan dari Persatuan Perubatan Australia (AMA), mendedahkan masalah obesiti menyebabkan Australia membelanjakan kira-kira 60 bilion dolar Australia (US$41.5 bilion) setiap tahun.

Bagaimanapun, hanya dua peratus belanjawan diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan bagi tahun kewangan 2019/20.

Sekumpulan pakar pada Khamis mendesak kerajaan mengambil langkah lebih berkesan dalam isu kesihatan awam yang disifatkan paling serius di Australia.

Ketua Eksekutif Persatuan Kesihatan Awam Australia (PHHA), Terry Slevin berkata, Australia telah melahirkan generasi tergemuk, jika tidak diatasi masalah itu akan menjadi lebih serius.

Slevin berkata sekurang-kurangnya lima peratus daripada belanjawan negara perlu diperuntukkan penjagaan kesihatan.

Di samping itu katanya, AMA menyokong langkah mengenakan cukai ke atas minuman manis.

– BERNAMA