Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penganalisis: Amirudin bebas kritikan terbuka, perlu agresif tonjol diri

SHAH ALAM, 19 JUN: Hasrat menonjolkan pemimpin muda dalam pentadbiran Selangor berhasil apabila Amirudin Shari berjaya terus mengemudi negeri termaju itu dalam tempoh setahun sejak dilantik 19 Mei lalu, kata seorang ahli akademik.

Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Menteri Besar berusia 39 tahun itu juga berjaya membuktikan kemampuan menerajui Selangor meskipun tidak mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran dan politik.

“Tidak banyak konflik atau isu besar melanda Selangor sepanjang setahun ini dan tiada kritikan dari dalam dan luar parti terhadap beliau membuktikan keupayaan dan kewibawaan beliau. Perkara ini patut diberi pujian,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tambahnya, Amirudin berjaya menangani pelbagai isu besar antaranya masalah air yang kerap berlaku di Lembah Klang.

“Isu-isu besar dapat diselesaikan dengan baik contohnya berkaitan air. Paling penting ia tidak menimbulkan masalah besar kepada masyarakat mahupun NGO,”katanya.

Tidak wajar dibandingkan

Bagaimanapun bagi Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, tidak wajar membandingkan pencapaian Amirudin dengan menteri besar terdahulu.

Sebaliknya,pemimpin muda KEADILAN itu perlu dilihat dari sisi berapa banyak dasar baru diilhamkannya yang tidak dibuat oleh pemimpin terdahulu.

“Amirudin seorang pemimpin muda dan mempunyai banyak ruang dan peluang untuk belajar bagi memantapkan pentadbiran dan menambahkan pengalaman.

“Beliau harus diberi peluang untuk mematangkan diri sebagai pentadbir sesuai dengan arus ledakan politik semasa, “katanya.

Perlu lebih agresif

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, Amirudin harus tampil lebih yakin serta agresif memimpin kerajaan negeri.

Beliau berkata, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua tidak boleh kelihatan pasif sebaliknya perlu tampil dengan idea serta gerak kerja yang lebih diyakini rakyat.

Menurutnya, populariti Menteri Besar penting dalam membawa imej serta sokongan dan keyakinan ramai.

“Keyakinan awam dan institusi adalah satu aspek terpenting bagi merancakkan hubungan baik antara pemimpin kerajaan dan masyarakat.

“Selangor perlu mencipta satu destini yang menyakinkan untuk mengekalkan imej negeri dengan kemajuan dan kebajikan, “katanya.

Md Shukri berkata, jika mengambil kira aspek kurangnya populariti Menteri Besar itu ketika ini, Amirudin dilihat mungkin memerlukan satu pasukan khusus sebagai badan pemikir dan pasukan bertindak untuk membantu menyumbang idea, menyalur informasi, serta memperkasakan peranan pejabat menteri besar di mata dan hati rakyat.

“Ini boleh membawa langsung idea, kemahiran dan kepakaran urus tadbir yang ada untuk membantu memajukan Selangor, “katanya.

Hari ini Amirudin genap setahun menggalas tugas sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 susulan kemenangan luar biasa Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Beliau mengantikan tempat bekas Menteri Besar sebelumnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terpaksa melepaskan jawatan itu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan khidmat beliau menggalas tugas lebih besar di peringkat persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.