Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Setahun kemudi Selangor, MB tekad sejahterakan negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan Negeri bertekad meningkatkan pencapaian hasil serta memberdayakan rakyat Selangor menerusi Program Inisiatif Peduli Rakyat dan mensejahtera Selangor dalam suasana damai juga sentosa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pentadbiran amat memerlukan dokongan dan sokongan padu penjawat awam, kakitangan swasta, serta kepimpinan negeri seluruh peringkat bagi menjayakan misi terbabit.

“Setahun yang lalu, saya diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

“Dengan penuh tekad, saya berazam untuk meningkatkan pencapaian hasil negeri, memberdaya rakyat Selangor menerusi Program Inisiatif Peduli Rakyat serta mensejahtera negeri dengan suasana Selangor yang damai dan sentosa,” tulisnya di laman media sosial Facebook beliau.

Amirudin turut mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan terutama daripada rakyat supaya pentadbiran sentiasa mengutamakan agenda kemakmuran bersama.

Beliau juga memanjatkan doa supaya warga negeri termaju itu diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk meneruskan usaha memakmurkan negeri.

“Semoga kita kekal seiringan dalam usaha merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya.

Semalam genap setahun Amirudin dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah pentadbiran baru Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.