Categories
SASTERA

Tiga lelaki di jeti

Oleh Johan Radzi

Tiga lelaki yang selesai memancing di muara Sungai Klang menyimpan joran mereka, menunggang motosikal masing-masing, dan menghala ke jeti. Di situ, sebuah warung masih lagi terang. Beberapa orang masih duduk sambil berbual-bual dan makan. Tiga lelaki itu parkir kenderaan mereka berhadapan titi dan melabuhkan punggung di bangku kayu.

Air berkocak-kocak di gigi tebing. Kapal-kapal teroleng bawah bulan purnama yang sepenuh terang. Semilir menghanyutkan bau hanyir laut dan tanah-tanah yang jauh ke serambi jeti.

Lelaki yang paling tua dalam kalangan mereka menggulung rokok pertama. Budiman, namanya. Seorang asal Jawa, yang telah lahir dan menua di wilayah ini. Bersamanya seorang lelaki separuh umur, berbadan tegap dan sedikit boroi. Di kampung ini orang memanggilnya Halim. Kaki botol. Buruh kasar di kilang automobil. Mereka berbual dan ketawa.

Kemudian, mereka perasan seorang lelaki yang duduk di sudut warung tersebut. Halim menggeleng-geleng.

Tentu dia lebih murung sekarang.

Budiman menyedut asap: Apa maksudmu?

Kau tak dengar? Perempuan itu sudah pulang.

Siapa?

Haryati. Aku dengar khabar daripada orang-orang di pekan, Haryati sudah kembali.

Budiman menjuihkan bibir. Dia menenyeh rokok di asbak, lalu didekapkan tangan sambal melihat lelaki di sudut warung itu meneguk kopi.

Azfar, lelaki yang termuda dalam kalangan mereka menjegilkan kening. Siapa perempuan ini?

Tomyam maggi dan tiga gelas teh halia sampai di meja.

Itu sebelum kau dihantar ke sini, Azfar. Dulu, ada perempuan yang paling cantik di desa ini. Namanya Haryati.

Lima belas tahun lalu.

Televisyen menyiarkan saluran yang samar-samar: kejatuhan pasaran minyak kelapa sawit. Dijangka lebih banyak peladang yang menganggur menjelang tahun hadapan.

Lelaki di sudut warung itu masih sunyi. Azfar melihat duka yang terkolam di bening matanya. Dia tahu lelaki separuh umur ini, dan dia telah mendengar banyak cerita baik tentang lelaki yang bekerja di dermaga ini.

Apa jadi, sebetulnya Pak Budiman?

Lelaki itu dan Haryati berasal dari desa yang sama, di wilayah ini. Kedua-dua keluarga mereka penghijrah Acheh yang berlabuh di rantau kita untuk membina kehidupan baru. Seperti anak-anak muda, mereka jatuh cinta. Seluruh kampung tahu tentangnya. Haryati perempuan jelita. Banyak lelaki ingin menyarung cincin pada jemarinya, banyak pula anak gadis yang mencemburuinya. Tetapi hatinya sudah terpaut pada lelaki itu, yang meskipun bukan dari keluarga berada, mempunyai akhlak dan pekerti yang mulia. Mereka kelihatan cocok sekali.

Halim terus mengunyah. Azfar mendengar dengan tekun.

Suatu hari, kampung mereka dilanda kebakaran. Rumah demi rumah rentung akibat maraknya api ditiup semilir. Termasuk rumah keluarga Haryati. Bapaknya tidak sempat diselamatkan daripada api. Apabila dikejarkan di hospital, bapaknya sudah diisytiharkan mati. Kesesakan nafas. Asap bukat telah membunuhnya.

Semenjak itu, segalanya berubah. Lelaki itu pada ketika itu sedang bekerja tidak menentu. Pekerjaan terakhirnya adalah seorang tukang punggah di gudang milik orang Cina berhampiran Meru. Kematian ayah Haryati telah mengubah landasan hidup beliau.

Ibu Haryati, yang pada awalnya menyokong pernikahan Haryati dengan lelaki tersebut, tiba-tiba membatalkan rancangan. Dia tidak mahu melihat Haryati berkahwin dengan lelaki dari desa ini, yang pada fikirannya masih miskin dan kolot. Pada waktu yang sama, seorang doktor yang bertugas di hospital umum datang masuk meminang. Lelaki tersebut datang dari keluarga yang bagus dan punyai kedudukan yang elok. Haryati bakal menjadi isteri ketiganya. Atas desakan sang ibu, Haryati terpaksa bersetuju.

Azfar menggeleng kepala. Halim yang telah menghabiskan makanannya mengelap mulut dengan tisu. Barangkali dia sudah kerap mendengar cerita ini.

Mereka bernikah tidak berapa lama selepas itu. Khabarnya, doktor itu punyai tugasan di negara luar. Haryati mengekori sekali. Di Filipina, kalau aku tak silap. Haryati hamil ketika itu. Khabarnya, pernikahan itu tidak bahagia.

Apa jadi kepada lelaki itu, tanya Azfar.

Jatuh murung. Dia sakit buat masa yang lama. Berbulan-bulan juga dia tidak mahu keluar bilik. Aku terpaksa memujuknya berkali-kali. Kemudian dia jadi sasau dan sedikit gila. Pernah suatu masa, dia ingin menjerut lehernya di Tanjung Harapan!

Sampai begitu, sampuk Azfar. Begitu tingginya cinta.

Dia masih meyakini bahawa wanita itu mencintainya. Kami tak membantah. Tetapi apakan daya, dia hanya seorang manusia. Dia tidak berdaya melawan takdir keras…

Budiman menyuap makanan ke mulut. Kini, lelaki itu sudah beransur pulih. Dia masih bekerja di dermaga, mengangkat dan memunggah barang. Dia juga banyak libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasjidan. Tetapi, sampai sekarang juga dia masih belum berumah tangga.

Kasihan dia.

Beberapa tetamu sudah pun mulai beredar. Ketiga-tiga lelaki membayar makanan dan berlalu. Lelaki itu masih di posisi sama. Pandangannya dilemparkan ke jeti, ke lautan lepas yang serba hitam dan gelap. Nun jauh ke horizon yang semakin tenggelam di Pantai Acheh di seberang.

Halim membonceng motor Azfar sambil menjinjit baldi yang berisi tangkapan mereka. Rumah mereka sejalan. Bagaimana urusanmu di sekolah hari ini, lelaki boroi itu bertanya.

Baguslah, sudah tiga bulan pertama. Setakat ini aku tiada masalah dengan pengurusan. Mujur juga desa ini berdekatan dengan sungai. Aku memang cari kaki pancing.

Motosikal mereka membelah dingin pekan. Azan subuh pun berkumandang dari seberang kampung. Mereka melalui beberapa lorong dan lebuh yang sunyi dan masing-masing tidak bercakap sepatah kata. Hanya bunyi tayar yang bergolek di atas jalan aspal yang berbatu-bata.

Setelah sampai, Azfar menurunkan Halim. Dia sempat bertanya, bagaimanakah rupa Haryati ini? Begitu cantikkah dia?

Setelah Azfar mematikan enjin, lampu-lampu di lorong pangsapurinya sudah dipadam – menandakan jejak siang yang sedang menanti di persimpangan. Dia menaiki lif dan melalui lorong arasnya. Dia dapat tangkap bau setanggi yang baru dibakar jirannya, serta hangit tahi kucing di sisi tangga. Dia menggeleng kepala dan membuka pintu rumah.

Perlahan-lahan, dia tanggalkan kasut di ambang pintu. Isteri serta bayi sulungnya sedang terlena di kamar. Dia seorang guru muda, yang baru dihantar ke wilayah ini untuk mengajari anak-anak persekolahan. Dia meletakkan baldi di dapur, mencuci muka, lalu menyandar pada kerusi di ruang tamu. Nafas panjang dihela.

Dia telah melihat kelibat Haryati, dua hari lepas ketika di pekan. Wanita itu sedang menjinjing tangan anak kecilnya, meredahi siang yang berbahang dan kereta yang berculang-caling. Masih tersisa keanggunan pada wajah perempuan yang sedih dan hiba ini. Dia tidak dapat bayangkan kejelitaan wanita ini pada usia muda. Tiba-tiba, Azfar diserbu rasa cemburu yang berat. Dia faham sekarang, penderitaan lelaki itu dan beban yang digalang pada bahunya selama bertahun-tahun.

Sebelum bilah matahari pertama menembusi jendelanya, guru muda itu sudah pun terlena. Azfar tidak bermimpikan apa-apa sepanjang tidurnya pagi itu.