SHAH ALAM, 15 JUL : Sebanyak 18 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turun padang membantu 139 keluarga yang terjejas akibat ribut Felda Soeharto, Hulu Selangor baru-baru ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, program yang dijalankan semalam itu turut disertai mahasiswa UPSI dan pelajar sekolah di Selangor serta penduduk setempat.
“Semua yang terlibat telah menyumbangkan tenaga meringankan beban yang ditanggung mangsa musibah ini. Mereka telah bergotong-royong membersihkan sisa kerosakan pada rumah dan sekitar jalan utama.
“Komitmen yang mereka pamerka ini menunjukkan nilai kemanusiaan sejagat masih menjadi kekuatan dalam usaha membentuk sebuah kehidupan yang peduli,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Dalam misi itu, mereka turut menyampaikan 80 kampit beras kepada Pengerusi MPKK Felda Soeharto untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“Semoga ukhwah yang terbina ini dapat terus disuburkan dimasa mendatang dengan pelbagai lagi program kemanusiaan. #TenagaKita untuk masyarakat kita,” katanya.
Antara NGO yang terlibat; Team Selangor, PWB Kuala Kubu Bharu, Afwah Hulu Selangor, Wirdina, Kelab Belia Sukarelawan Bukit Sentosa, Prihatin Hulu Selangor, Malar Hijau, Persatuan Belia Masjid Hulu Selangor, UNIT.Y, Swakas , Skuad Pekerti dan Bulan Sabit Merah Hulu Selangor.
Turut terlibat sama dalam misi tersebut, Malaysia Indian Voice Selangor, Etnik Harapan, Pengakap Kelana Hulu Selangor, Team AWAN Hulu Selangor , Pelajar SMK Kalumpang, PEBT Hulu Selangor dan Mahasiswa UPSI.