SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebanyak 40 kumpulan kebudayaan berentap bagi merebut gelaran juara dalam Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 yang diadakan di Teater Shah Alam, di sini malam tadi.
Pertandingan anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor itu membabitkan peserta kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi/terbuka.
EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, penganjuran memasuki tahun kedua itu menerima penyertaan lebih tinggi berbanding siri pertama, pada 2017 iaitu hanya 20 kumpulan sahaja.
“Saya difahamkan terdapat peningkatan kumpulan bukan sahaja dari Selangor tetapi seluruh Malaysia dan sudah tentu ia satu indikator baik dalam pembangunan kebudayaan di Selangor serta berharap ia akan terus meningkat tahun demi tahun.
“Penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri bagi merakyatkan kebudayaan serta warisan Selangor, sekali gus menghidupkan Shah Alam sebagai Kota Seni.
“Besar harapan saya supaya program ini dapat dijadikan sebagai landasan di peringkat Selangor untuk mengetengahkan kumpulan kesenian yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo.
Katanya, selain menggilap bakat baru, penganjuran pertandingan tarian tradisional dua tahun sekali itu juga bagi memberi ruang kepada pelapis untuk mengadakan persembahan ke peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, Abdul Rashid turut menyarankan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor supaya juara pertandingan itu dicadangkan sebagai calon mewakili Selangor ke pertandingan tarian tradisional peringkat Kebangsaan, pada masa akan datang.
“Kerajaan Negeri komited mewujudkan pertandingan ini bagi memupuk semangat seseorang supaya cintakan kebudayaan, kesenian dan warisan serta mengangkat identiti warisan Selangor,” katanya.
Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 bagi sekolah rendah dimenangi Kumpulan Sanggar Budaya dari Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya; sekolah menengah pula dimenangi Pewaris Seni Anak Tari dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, manakala Remaja Akar Seni Kuala Lumpur berjaya digelar juara bagi kategori IPT/Terbuka.
Juara bagi kategori sekolah rendah dan menengah berjaya membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan serta medal manakala bagi kategori IPT/Terbuka pula RM5,000 juga piala iringan serta sijil.