Categories
BUDAYA RENCANA

Estetika intai: Sinematik voyeur dalam sinema

Oleh Adam Taufiq Suharto

Setelah kita membayar tiket dan melabuhkan punggung di kerusi empuk panggung, lampu perlahan-lahan malap dan menggelap. Pada waktu ini, ruang privasi mula tercipta dalam gelap yang samar-samar itu. Yang ada hanyalah cahaya dari ruang projektionis ke arah sebuah layar putih yang bentuknya mirip sebuah jendela. Di situ, spektator (penonton) mula melihat sebuah kehidupan orang lain lantas secara tak langsung kita sedang menjawat jawatan voyeur atau pengintai yang sejati. Selain secara prinsipnya kita telah menjadi voyeur sebagai penonton, voyeur sendiri ada estetikanya dalam filem.

Voyeur, terma yang berasal dari bahasa Perancis, “voir”, bererti sebuah aktiviti mengintai atau mengintip untuk mendapatkan kenikmatan tersendiri. Pun begitu, voyeurism seperti kata Thomas A Doohan, dalam kajiannya, Through The Window: the Subject and the Voyeur’s Gaze Within Cinema, menyatakan voyeurisme selain berperanan untuk menghadiahkan kenikmatan seksual dan erotik kepada spektator, ia juga adalah kenikmatan dan kepuasan yang manusia dapat rasai apabila melihat seseorang diseksa.

Dalam esei Laura Muvey, Visual Pleasure and Narrative Cinema mengatakan ada dua sistem yang membentuk voyeurisme iaitu produk akhir ataupun filem yang telah siap yang ditonton oleh spektator. Kedua, voyeurisme yang terjadi dalam kalangan karakter-karakter di dalam skrin. Sudah tentu ada beberapa mekanisme yang telah diaplikasikan untuk mewujudkan sinematik voyeur ini. Antaranya adalah bentuk syot sudut pandang daripada karakter atau point-of-view (POV). Selain itu, terdapat juga beberapa sutradara yang mengaplikasikan sinematik voyeur dengan melakukan komposisi syot berbentuk bingkai di dalam bingkai.

Daripada itu, kita lihat pula makalah, Norman K. Denzin tajukya, The Cinematic Society: The Voyeurs Gaze. Dalam kajian itu, beliau bercerita tentang antara watak-watak voyeur yang pernah muncul di sinema adalah: wartawan, detektif, perisik, pcsycopath, pembunuh, perogol dan beberapa watak-watak lain yang memerlukan dirinya untuk mengintip secara langsung atau tidak langsung.

Beberapa filem yang berlainan genre dikesan mengaplikasikan sinematik voyeur dengan teknik dan tujuan tersendiri. Mahaguru saspens, Alfred Hitchcock misalnya dalam filem Rear Window, sebuah filem saspens-thriller, telah mencipta karakter voyeur yakni seorang juru foto yang terdampar di rumahnya akibat kemalangan. Dia kemudiannya mengintai aktiviti jiran-jirannya pada musim panas menerusi lensa kameranya dari jendela belakang rumahnya. Hitchcock telah menggunakan syot POV semasa si jurufoto melakukan aktiviti mengintai. Hal ini menyebabkan spektator berasa lebih saspens apatah lagi apabila kita (spektator) bersama-sama si jurufoto ternampak kejadian bunuh dalam sebuah rumah tanpa disangka.

Selain itu, filem-filem horror juga cuba untuk mengetengahkan voyeurisme. Antaranya Peeping Tom, yang merupakan filem slasher horror. Dalam filem ini, pengarah telah menggunakan syot POV pada babak-babak si Peeping Tom sedang menyerang mangsa. Teknik ini amat menarik kerana berupaya menjadikan penonton sebagai penonton yang aktif kerana sutradara telah pun memberikan ‘mata’ melalui syot POV kepada penonton. Secara tidak sengaja, semasa babak itu berlaku, penonton adalah si hantu yang sedang mengejar mangsanya.

Filem Susuk arahan Amir Muhammad dan Naiem Ghalili antara yang menarik jika bercakap mengenai sinematik voyeur. Ia seakan-akan sedar, filem sebagai satu bentuk aktiviti pengintaian oleh penonton. Terdapat babak dalam filem Susuk, penonton telah diperlihatkan Suzanna (lakonan Ida Nerina) di dalam sebuah tab mandi dengan keadaan yang menggiurkan, dengan bunga-bungaan yang menghiasi air yang kita maklum sebagai aktiviti mandi bunga. Babak ini kemudiannya telah cut dan masuk ke babak Suzanna berada di atas kerusi sambil menikmati shisha. Suzanna kemudian menjeling ke arah kamera dan berkata, “Puas?”

Spektator akan berasa seolah-olah Suzanna sedang bercakap dengan mereka yang dari tadi sedang keasyikan menjadi pengintai dan menikmati apa yang terpampang dari jendela layar itu. Namun, rupa-rupanya, Suzanna berinteraksi dengan Dukun Dewangga (Adlin Aman Ramli) yang di dalam filem ini banyak mengintip secara senyap.

Selain genre seram dan thriller-saspens, Wong Kar Wai tidak terlepas mengaplikasikan sinematik voyeur dalam filem romantisnya, yang mendapat perhatian dunia berjudul In The Mood For Love yang telah menerapkan syot berbentuk bingkai dalam bingkai. Selain cuba merefleksi keadaan Hong Kong yang sempit dan padat, syot ini bertujuan memberikan spektator perasaan sebagai pengintip atau pengintai kepada hubungan cinta terhalang dan rahsia antara watak disandang oleh Tony Leung dan Maggie Cheung. Syot-syotnya diambil dari celah-celah tingkap dan pintu yang secara tak langsung mencipta sinematik voyeur sendiri. Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan bahawa semasa filem ini dibikin, Wong Kar Wai memikirkan bahawa tajuk filem tersebut sebagai Secret. Maka kita seolah-olah menjadi antara saksi kepada hubungan cinta rahsia mereka, usai mengintai dari celah-celah tingkap, jalan, pintu dan berbagai lagi.

Konklusinya, keupayaan sinematik voyeur merentas genre dan mekanismenya juga masih terbuka untuk dimapulasi oleh pengkarya bagi tatapan ‘pengintip-pengintip’ dari balik jendela layar. Hemat saya, voyeurisme dalam sinema ini juga tidak terhad dalam estetika filem atau hal-hal kepenontonan sahaja. Ia sebaliknya sebuah refleksi kepada dunia manusia realiti hari ini yang hakikatnya lebih mudah menjadi voyeur atau pengintip menerusi sosial media. Kekadang ada menjadi seperti watak sang detektif, menyiasat masalah orang, kekadang ada yang menjadi hantu memburu orang lain, kekadang ada juga yang mencari gosip akan hubungan yang tak pasti. Demikianlah hakikatnya, kitalah voyeur sejati, dengan cara sendiri.

Selamat mengintai.