OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 3 JUL: Kerajaan digesa supaya mewujudkan skim seperti Felda dan Felcra kepada kaum India bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN), kata V Ganabatirau.
EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin berkata, masyarakat India berminat bekerja di sektor perladangan sekiranya kemudahan lengkap dan pelan pendapatan tetap diperkenalkan kepada mereka.
“Selama bertahun-tahun, ramai orang India disisihkan atas nama pembangunan.
“Dengan memberi tanah kepada keluarga untuk membangun seperti Felda dan Felcra, sudah pasti ia akan menarik penduduk tempatan terutama orang India yang banyak menyumbang secara signifikan pada masa lalu untuk bekerja di sektor ini seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning itu berkata, sebelum 1980, Malaysia pernah dikenali sebagai negara pertanian dengan getah dan minyak sawit adalah eksport utama ke dunia.
Katanya, komoditi berkenaan masih menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara kita, namun negara melupakan sumbangan orang India dalam membangunkan sektor perladangan itu selama beberapa dekad.
“Banyak syarikat perladangan besar yang kini menjadi sebahagian daripada GLC dibina daripada usaha orang India, malangnya sumbangan ini tidak diiktiraf oleh syarikat-syarikat ini.
“Tiada skim perkongsian ekuiti atau tanah ditawarkan kepada orang India ini, bahkan mereka dianggap sebagai pekerja daripada dianggap sebagai rakan kongsi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, skim berkenaan ditawarkan di bawah Felda dan Felcra dengan keluarga diberikan kira-kira lima ekar atau lebih untuk memiliki serta membangunkan tanah itu.
“Buah sawit dijual dengan harga yang baik. Ini memberi keluarga pendapatan tetap untuk terus hidup, malahan semua kemudahan seperti sekolah, tempat ibadah, air, elektrik disusun untuk mereka,” katanya.
Katanya, Felda dan Felcra adalah agensi kerajaan yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar ke kawasan yang baharu dibangunkan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Di banyak tempat, pekerja India terpaksa berpindah ke kawasan lain dan digantikan dengan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan India.
“Apabila bimbingan yang betul hilang, kaum India ini akan hilang dalam perkembangan pesat negara. Kemiskinan bandar, kurang peluang pekerjaan dan tekanan akan menyumbang kepada kemiskinan masyarakat India sehingga kini.
“Kerajaan harus fikir dan rancang di sepanjang garis ini daripada membawa warga Bangladesh, Nepal atau Afrika,” katanya.