Categories
AGENDA NASIONAL

Industri sarung tangan digesa pergiat usaha terokai pasaran Afrika

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Industri sarung tangan Malaysia digesa mempergiatkan lagi usaha menerokai potensi pasaran luas di Afrika, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Katanya, kesedaran berhubung kepentingan dan permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat kerana ia digunakan sebagai barisan pertama pertahanan oleh petugas perubatan terhadap pelbagai penyakit berjangkit seperti ditunjukkan dalam kes wabak Ebola di Afrika, baru-baru ini.

Pada 2018, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai US$100 juta (US$1=RM4.12) ke 49 daripada 55 negara di benua Afrika, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dengan Ketua Misi Afrika di Malaysia, pada Selasa malam.

“Eksport ke benua itu terus berkembang dan permintaan terhadap sarung tangan terus meningkat ekoran kesedaran berhubung kepentingannya.

“Malaysia ialah rakan kepada negara Afrika dengan hubungan diplomatik kukuh, oleh itu penggiat industri perlu meneruskan usaha pemasaran untuk memperkukuhkan lagi hubungan positif supaya kedua-dua pihak dapat meraih manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo memberitahu Bernama, eksport sarung tangan getah ke benua itu dijangka meningkat sebanyak 50 peratus kepada kira-kira US$150 juta tahun ini.

Beliau berkata, Afrika sebuah benua yang amat besar dengan populasi 1.2 bilion penduduk dan mempunyai 22 misi diplomatik di Malaysia.

Katanya, daripada eksport sarung tangan bernilai US$100 juta ke negara Afrika tahun lalu, 72 peratus atau US$72.2 juta adalah dalam bentuk sarung tangan perubatan, diikuti sarung tangan getah semula jadi dan sarung tangan pembedahan lain.

Jau Foo berkata, Mesir, Afrika Selatan dan Kenya ialah negara pengimport utama.

Katanya, pada 18 Julai tahun ini, penggunaan sarung tangan getah di Afrika adalah rendah iaitu dua pasang per kapita, berbanding dengan China (5), Brazil (12), Eropah (50) dan Amerika Syarikat (75).

“Oleh itu, benua Afrika mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pasaran baharu untuk pertumbuhan.

“Dengan peraturan baharu mereka, peningkatan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat dan peningkatan kuasa ekonomi, kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan, termasuk sarung tangan,” katanya.

Jau Foo berkata, permintaan global untuk sarung tangan getah tahun ini dijangka meningkat 12 peratus kepada 300 bilion keping sarung tangan dengan hasil eksport dijangka sebanyak US$4.95 bilion.

Malaysia dijangka berkongsi pasaran terbesar kira-kira 63 peratus mendahului Thailand (18 peratus) China (10 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

-BERNAMA