Categories
BERITA UTAMA

LKAN 2018: 5 agensi Selangor catat pengurusan kewangan cemerlang

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dan empat agensi lain mencatat prestasi pengurusan kewangan cemerlang, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018.

Laporan Siri 1 itu melaporkan, Pejabat SUK mencatatkan prestasi pada tahap 98.44 peratus, Majlis Perbandaran Selayang (MPS)(97%), Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (94.97%), Jabatan Mufti Selangor (93.8%) dan Perbadanan Wakaf Selangor (90.39%).

Pengauditan juga mendapati sembilan agensi berada pada tahap baik iaitu Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Empat lagi ialah PDT Hulu Selangor, PDT Sepang, PDT Sabak Bernam dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Sementara Jabatan Pertanian Negeri Selangor pula berada pada tahap memuaskan.

“Manakala bagi pengurusan pelaburan dan pinjaman, audit mendapati lima agensi Selangor mencapai tahap cemerlang sehingga mencapai 100 peratus.

“Ia termasuk PKPS, MPK, MDHS dan MPS, sementara Perbadanan Wakaf Selangor mencapai tahap 92.73 peratus bagi pengurusan dan pelaburan,” katanya.

Laporan audit turut menyatakan secara keseluruhannya prestasi pengurusan kewangan jabatan atau agensi negeri bagi 2018 berada pada tahap baik berdasarkan kepada markah keseluruhan.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa agensi yang perlu meningkatkan dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangan agar isu yang dibangkitkan tidak berulang.

“Sehubungan itu pihak berkaitan hendaklah mengambil tindakan sewajarnya seperti memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai yang terbabit dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan dengan memberi latihan sewajarnya secara berterusan.

“Selain itu, penilaian ke atas kemahiran dan keupayaan pegawai berkenaan hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.