Categories
NASIONAL

PAKATAN pilih pulih negara berbanding laksana ‘projek enak’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 7 JUL: Kerajaan Persekutuan tidak memilih melaksanakan ‘program enak’ membabitkan pemberian hadiah dan kewangan seperti mana amalan era kerajaan Barisan Nasional.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebaliknya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terlebih dahulu memilih membetulkan dan menstrukturkan semula pentadbiran serta pengurusan yang dirosakkan pentadbiran terdahulu.

Katanya, ia bagi memastikan negara kembali berada dilandasan betul dengan pentadbiran dan pengurusan berhemah sebelum melaksanakan pelbagai program pro rakyat.

“Setelah satu tahun kerajaan PAKATAN diberikan amanah dan menguruskan Putrajaya, Kerajaan Persekutuan tidak buru-buru melaksanakan program yang nampak enak, nampak baik, pemberian hadiah atau duit.

“Ini kerana kerajaan ini harus membetulkan dan menstrukturkan semula supaya kita berada dalam landasan pentadbiran dan pengurusan yang berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer dan Parlimen Selayang di Dataran Ilmu, Selayang Baru di sini, hari ini.

Amirudin turut mengimbau kembali peringkat awal PAKATAN mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri ketika itu turut mengambil pendekatan sama dengan menerapkan amalan kebertanggungjawaban dalam pengurusan ekonomi dan pentadbirannya.

“Sebab itu kalau tuan-tuan ingat, 10 tahun dulu sewaktu kita diberikan amanah di Selangor, kita bermula dengan enam program dan masuk ke tahun 2013 sebelum PRU kita berjaya laksana 13 program IPR atau Merakyatkan Ekomoni Selangor.

“Kita tidak terus buat 42 program sebagai mana yang ada sekarang sebab pada ketika itu, kita ingin pastikan pengurusan pentadbiran serta sistem pentadbiran kita berada dalam konsep berkeupayaan, pengurusan berhemah, pengurusan mencegah dan pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya.