Categories
AGENDA NASIONAL

Perang perdagangan AS-China: Firma AS pindah ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Banyak firma Amerika Syarikat (AS) berminat untuk beroperasi di Malaysia dan berkemungkinan mempercepat langkah mereka ekoran ketidaktentuan yang disebabkan oleh ketegangan perdagangan AS-China.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), Michael W Michalak berkata, pemindahan rantaian bekalan itu sudah pun bermula, dan dipercepat disebabkan isu perdagangan tersebut.

“Seperti yang anda lihat sepanjang bengkel hari ini bahawa Industri 4.0 (IR4.0), ekonomi digital akan menjadi tumpuan ekonomi maju,” katanya pada sidang akhbar sempena seminar sehari anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan USABC bertema Potensi Industri 4.0 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS).

Michalak berkata, usaha berterusan Malaysia dalam meningkatkan persekitaran kawal selia akan menarik lebih banyak syarikat beralih ke negara ini pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri MITI, Datuk Darell Leiking berkata, pemindahan operasi firma asing ke Malaysia agak besar.

“Penting untuk kita untuk memenuhi harapan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa persekitaran IR4.0 perlu dipertingkat lagi di Malaysia supaya kita menjadi menarik kepada kebanyakan mereka.

“Pada masa yang sama, bahagian pengawalseliaan kerajaan juga perlu diberi perhatian supaya apabila syarikat asing masuk ke Malaysia, mereka akan dapat menikmati dan mempunyai kemudahan yang mereka nikmati sebelum ini, malah lebih baik,” katanya.

Firma besar AS dilaporkan menyegerakan usaha mereka untuk memindahkan lebih banyak rantaian bekalan dari China ke negara pesat membangun, termasuk Malaysia.

Antara sektor yang terlibat termasuk teknologi, pakaian dan kasut.

Sejak bermulanya pertikaian perdagangan antara AS dan China, komuniti perniagaan telah cuba menilai impak trend perdagangan.

Impak pertikaian AS-China ini berpotensi mengubah corak barangan yang didagangkan dan akan membawa lebih banyak perniagaan ke bahagian dunia di sini.

Pakar-pakar perkapalan sebelum ini mendedahkan bahawa firma-firma perniagaan akan mencari kaedah penyelesaian terhadap tarif perdagangan, sekatan import dan perdagangan bagi mengekalkan perniagaan mereka.

“Dari segi barangan, produk yang dihasilkan di China akan dipindahkan ke negara jiran, mendapatkan label berlainan mengeksport barangan ke AS, jika mereka mendapati eksport langsung terlalu mahal,” kata pakar berkenaan.

Tindakan AS dalam menangani ketidakseimbangan dagangannya telah menyebabkan beberapa syarikat utama mengukuhkan operasi di Amerika Utara dan memindahkan sebahagian kapasiti pembuatan dari China ke tempat lain termasuk Malaysia, Vietnam, Kemboja, Filipina, Bangladesh, India dan Ethiopia. – BERNAMA