Categories
PBT SELANGOR

Peserta tunggal MDHS tamatkan larian ‘Ultra Trail’ 50km

HULU SELANGOR, 23 JULAI: Peserta tunggal Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang menyertai Hulu Selangor Ultra Trail Run (HSUT) 2019 berjaya menamatkan larian dalam acara 50 kilometer (km), di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, Ahad lalu.

Mohd Yusof Saidina Abu Bakar, 36, menamatkan larian dengan catatan masa 13 jam 45 minit melalui Lata Medang ke Puncak Bukti Kutu seterusnya ke Kampung Buluh Telur dan Ampang Pecah serta berpatah balik laluan sama sehingga ke garisan permulaan di Kampung Pertak.

Akui gemar dengan aktiviti larian sejak zaman sekolah, Yusof berkata, kali terakhir dia menyertai sukan itu adalah dalam acara marathon pada 15 tahun lalu, tetapi pertama kali menyertai ‘ultra trail’.

“Laluan ini sangat menguji ketahanan mental dan fizikal terutama apabila peserta perlu naik turun Bukit Kutu sebanyak dua kali serta laluannya berada dalam kelas tersendiri tetapi menyeronokkan.

“Saya mengambil keputusan untuk menyertai larian ini sebagai tanda sokongan kepada MDHS selaku penganjur dan ingin memberikan galakan kepada rakan-rakan lain untuk menceburi bidang sukan lasak ini selain mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Peserta terpantas menamatkan acara 50km adalah peserta tempatan, Yusof Abdul Manan yang merekodkan masa 7 jam 35 minit 19 saat bagi kategori lelaki terbuka.

HSUT yang turut mendapat kerjasama Pinnacle Sports dan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor itu mempertandingkan dua acara iaitu 50km dan 15km, manakala enam kategori bagi setiap acara iaitu lelaki dan wanita antarabangsa, lelaki dan wanita terbuka (18 hingga 39 tahun) serta lelaki dan wanita veteran (40 tahun ke atas).

Acara berkenaan disempurnakan Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin bersama Setiausahanya, Awaluddin Zakaria.

Sementara itu, Shukri berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 200 peserta menyertai pertandingan berkenaan, selain disertai peserta luar negara antaranya Thailand, Singapura, Indonesia, Korea, Perancis, Kanada dan Nepal.

“Peserta antarabangsa sangat berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan menyatakan hasrat untuk tidak ingin terlepas untuk menyertai acara ini pada masa akan datang.

“Mereka juga amat mengagumi laluan Ultra Trail Hulu Selangor ini kerana laluan berkenaan sangat unik, teknikal, ekstrem dan diberi penarafan lima bintang untuk tahap kesukarannya.

Pada masa sama, beliau berkata, MDHS menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Selangor yang melaksanakan acara seperti itu.

Katanya, pihak pengurusan tertinggi sangat menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menganjurkan program itu, selain bersetuju untuk dijadikan sebagai acara tahunan.

“Sukan lasak ini berpotensi besar untuk diketengahkan walaupun ia hanya diminati pihak tertentu, namun tidak mustahil boleh dijadikan sebagai sukan ‘trend’ diminati ramai seperti sukan lain.

“Selain itu, program ini juga adalah salah satu promosi dalam memperkenalkan Hulu Selangor sebagai kawasan eko-pelancongan sukan lasak dan secara tidak langsung boleh menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang ke daerah ini,” katanya.