Categories
SASTERA

Rindu yang menyamar

Oleh Fakrull Halim

RINDU kadang-kala menyamar memakai rupa berbeza.

Seperti apabila aku minta ibu menggoreng kayu keramat sahaja sebagai bekal, kononnya lebih mudah dibawa mendaki berbanding nasi lemak ketika dia bertanya kepada aku semalam. Barangkali aku sebenarnya rindu akan kayu keramat ibu yang lama tak dapat aku rasa selama aku tinggal tinggal di asrama.

Aku memamah kayu keramat yang keberapa belas entah.

Lumat dikunyah, makanan di dalam mulut ditelan. Sisa yang melekat di lidah dan pipi kubasuh dengan beberapa teguk air mineral.  Aku melihat kaki, ada lumpur kering dan tanah yang mencemar kasut. Aku menyapu tapak kasut beberapa kali.

Oh. Atau seperti semalam, ketika aku bersetuju untuk mengikut abah mendaki bukit hari ini, aku bukannya suka sangat hendak mendaki, tapi barangkali kerana rindu hendak memakai kasut sukan yang baru tiga kali aku pakai ini. Barangkali.

Abah tersenyum melihatku menjamah kayu keramat. Aku memandangnya semula, dan turut tersenyum.

Jam di tangan kujenguk. Sudah tak banyak masa lagi.  Sebaik melihat aku bangun, abah kembali mendaki dan aku mengikut di belakang.

Sempatkah? Entahlah. Aku tak kisah sangat. Tapi harap-harapnya sempat, sebab abah memang suka lihat matahari terbit dari puncak Bukit Penyamar ini.

Aku melihat abah dari belakang. Abah melangkah luas, dan setiap tolakan kakinya ditekan gagah. Aku cepat-cepat mengubah caraku berjalan, langkah kecil kuluaskan, dan batang kaki kukeraskan untuk menolak badan terus bergerak ke hadapan.

Aku senyum. Aku lebih banyak melihat belakang tubuh abah berbanding tanah. Aku nak jadi macam abah. Gagah, kuat.

Sekejap sahaja lagi, kami akan keluar daripada kawasan yang redup dengan pokok-pokok tinggi dan memasuki kawasan berbatu pula.

Dari satu segi, aku kagum pada bukit. Biarpun begitu banyak pokok memautkan akar di tubuhnya, bukit tak goyah, tetap gagah dan utuh begitu juga.

Ayah juga bagi aku seperti bukit. Mungkin memang begitu Tuhan jadikan seorang ayah: sebagai bukit yang muat dalam setiap pintu dan rumah. Kerana setiap orang memerlukan ‘bukit’, tempat untuk kita berpaut.

Kami mendaki tanpa bercakap apa-apa. Sesekali, abah menoleh memandangku, dan apabila melihat aku masih okey, abah memandang ke depan semula mengetuai pendakian. Seingat aku, sejak kami mendaki tadi, kami belum bercakap apa-apa lagi.

Memasuki kawasan berbatu, setiap langkah kami susun lebih hati-hati. Di sini, pokoknya lebih renek berbanding bawah tadi, mungkin kerana lantainya yang berbatu keras.

Aku memandang jauh ke depan, ke arah sebuah bukit yang bertentangan dengan Bukit Penyamar ini. Kulihat jari-jari matahari sudah terjulur memaut bahu Bukit Sedar di hadapan kami. Bila-bila masa sahaja matahari akan mengoyak ufuk langit di balik bukit sana dan menjulurkan kepalanya.

Sedikit demi sedikit, aku mula dapat lihat rambut matahari yang menggerbang, tetapi wajahnya masih terlindung. Matahari masih memanjat, sekejap lagi dia akan menyerlahkan mukanya yang tersenyum terang.

Barangkali kami tak akan sempat melihat matahari terbit di puncak bukit. Seperti yang aku cakapkan tadi, aku tak kisah sangat. Cuma abahlah, dia yang ajak aku mendaki untuk melihat matahari terbit dari puncak Bukit Penyamar ini. Tapi aku rasa memang tak akan sempat. Adakah salah aku yang kerap berhenti sebab hendak makan kayu keramat?

Tapi, lihat dari sini pun boleh tahan cantik juga pemandangannya. Aku harap abah tak kisah.

Aku menoleh memandang abah. Tetapi abah tidak pun memandang pada matahari yang sedang terbit itu. Sebaliknya abah sedang memandang aku. Aku dapat lihat di tubir matanya ada genang air. Mungkin peluh agaknya …

Abah tiba-tiba menggosok rambutku, dan aku ketawa sambil menepis tangannya. Walaupun aku tak sikat rambut pun tadi, tapi aku tak sukalah dibuat begitu. Aku bukannya budak lagi. Aku pandang abah, dan sepertinya, aku pun ikut tersenyum.

Kami kemudian sama-sama berpaling, melihat ke arah Bukit Sedar.

Ya. Agaknya abah bukannya hendak tengok sangat pun matahari terbit. Mungkin pendakian ini sebenarnya hanya cara abah mewajahkah rindunya yang lama tidak meluangkan masa dengan aku, memandangkan kami sudah lama tak berjumpa. Mungkin begini cara rindunya menyamar.

Dahi matahari sudah mula kelihatan. Sikit sahaja lagi sebelum dapat kami lihat sepasang matanya pula.

Tetapi tiba-tiba, mataku terbuka..

Mimpi.

Aku melepas nafas yang panjang.

Jantung laju mengepam darah, seperti aku benar-benar baru sudah mendaki. Tetapi selain itu, jantungku juga terasa seperti sedang digenggam oleh suatu rasa ketidakselesaian.

Dalam mimpi pun aku tak sempat langsaikan apa yang tidak selesai antara kami.

Aku merenung ke depan, ke arah siling bilik. Tiga bilah kipas siling saling mengejar dalam bulatan. Perlumbaan yang tidak akan ada yang menang, tidak akan ada yang kalah. .

Seperti juga aku, yang harus terus bermain kejar-kejar dengan rasa bersalah terhadap abah. Perlumbaan yang tidak akan tamat sampai bila-bila.

Dalam hati, aku mengutuk diri sendiri. Setelah akhirnya abah muncul dalam mimpiku, kenapa aku tak ambil peluang itu untuk meminta maaf padanya? Atau sekurang-kurangnya berbual dengannya? Atau bercerita khabar ibu padanya? Atau memintanya untuk tinggal dalam mimpiku lebih lama… setidak-tidaknya sehingga kami dapat sama-sama melihat matahari terbit.

Air mata mengalir dari hujung kelopak, turun melalui tepi kepala dan berakhir di lekuk cuping atas telinga.

Mungkinkah abah benar-benar melawat aku dalam mimpi tadi?

Ataukah tadi, hanya rindu yang memakai wajah abah sebagai mimpi?

Aku pejamkan mata rapat-rapat, walaupun aku tahu aku takkan boleh lelap lagi.