Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sokong tindakan SOSMA ke atas dalang pencemaran air

SHAH ALAM, 24 JUL: Kerajaan Negeri menyokong tindakan yang akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran diesel dilakukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, hal itu kerana perbuatan sabotaj adalah satu tindakan jenayah yang perlu diambil tindakan tegas.

Malah, katanya, jutaan pengguna menjadi mangsa ketiadaan air ekoran henti tugas oleh pihak Air Selangor.

“Sememangnya dan sepatutnya begitu. Perbuatan sabotaj jika betul adalah satu tindakan jenayah yang perlu diambil tindakan keras dan tegas.

“Malah, berturut-turut kita terpaksa hentikan bekalan air kerana pencemaran menyebabkan jutaan pengguna menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ir Izham berkata, perbuatan mencemarkan alam sekitar samada sengaja atau tidak sengaja adalah tidak boleh diterima bagi sebuah negeri maju seperti Selangor.

“Kerajaan akan meneliti dan akan mempertingkatkan lagi langkah-langkah kawalan supaya aktiviti begini berjaya dibendung,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sukar membuat pemantauan di sepanjang sungai kerana jaraknya.

Bagaimanapun, katanya, dengan mengenalpasti potensi kawasan pencemaran di sepanjang sungai dan memantau kawasan berisiko pencemaran, ia akan dapat mengurangkan risiko pencemaran.

“Loji-loji memang sentiasa dipantau. Masalah pencemaran ini berlaku di ‘upstream’ atau hulu sungai.

“Justeru, amat sukar memantau sepanjang sungai kerana jaraknya, bagaimanapun, dengan mengenalpasti potensi kawasan pencemaran di sepanjang sungai dan memantau di tempat berisiko berlaku pencemaran ini kita akan berupaya mengurangkan risiko pencemaran lebih awal,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, sesiapa yang melakukan sabotaj terhadap mana-mana prasarana atau kepentingan (kerajaan), boleh ditangkap di bawah SOSMA dan didakwa di bawah undang-undang paling serius.

Terdahulu, hampir 1.2 juta akaun pelanggan terjejas dengan pencemaran diesel di sungai di tujuh wilayah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.