Categories
SELANGOR

Transformasi Kompleks PKNS, bawa nafas baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: Biarpun sudah mencecah usia 40 tahun, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam masih kekal relevan dengan arus semasa.

Bagaimanapun, atas usaha sama anak syarikat Kerajaan Negeri, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) rancak melakukan transformasi daripada sudut rekabentuknya supaya ia kelihatan lebih segar dan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, transformasi itu juga dilakukan bertujuan memberikan keselesaan kepada pengunjung ketika berkunjung ke kompleks berkenaan.

Katanya, antara transformasi dilakukan adalah penambahbaikan surau dengan nama baharu iaitu, Musolla Al-Kauthar yang mampu memuatkan seramai 100 jemaah dalam satu-satu masa berkonsepkan industrial.

“Kemudahan seperti ruang menunggu, ruang wuduk mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas, tandas serta bilik menyiapkan bayi yang berdekatan menjadi salah satu faktor utama diambil kira dalam proses transformasi dilaksanakan.

“Malah, kita turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS bagi mengimarahkan dengan aktiviti bermanfaat seperti tazkirah, solat terawih, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, medan selera di tingkat empat juga tidak ketinggalan dalam mengalami proses transformasi yang kini dinamakan dengan nama Makan@Bumbung.

Menariknya, katanya, PREC akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, playground dan rock climbing di tingkat empat ini selain menikmati makanan dan pemandangan yang disajikan.

“Bagi yang ternanti-nanti untuk menikmati makanan di Makan@Bumbung, ia akan mula beroperasi pada bulan hadapan.

“Selain itu, PREC turut melakukan renovasi membabitkan fasad luar bangunan dengan mengenengahkan salah satu elemen unik di sudut bangunan bagi menampakkan logo PKNS,” katanya.

Beliau berkata, segala penambahbaikan yang dilakukan di kompleks itu dititikberatkan kerana ia menjadi tumpuan utama menjelang Ramadan dan Aidilfitri untuk umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa serta menyediakan kelengkapan Hari Raya.

Katanya, pilihan reka bentuk dan warna itu menjadikan suasana persekitaran kelihatan lebih hangat dan mesra.

rhdr

“PREC sentiasa menyokong matlamat dalam menjadikan Shah Alam sebagai sebuah Kota Seni dengan menyuntik unsur kesenian dalam tranformasi yang dilakukan.

“PREC mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua kemudahan bangunan berkeadaan baik melalui transformasi seperti tandas dan penghawa dingin supaya pengguna dapat berbelanja dalam suasana nyaman, selesa dan kondusif.

“Saya percaya transformasi yang dilakukan PREC ini mampu memberikan kesan positif daripada sudut ekonomi dan sektor pelancongan dengan penambahan pengunjung ke Shah Alam khususnya,” katanya.