Categories
SELANGOR

UKM rai anak yatim dan masyarakat Orang Asli

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JUL: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan anak yatim dari Al-Ikhlas School for Rohingya Refugees, Selayang dan masyarakat Orang Asli dari Pos Gob, Gua Musang dan Sungai Buah, Dengkil dalam Majlis Sambutan Hari Rayanya, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM tidak melupakan penduduk asal Bangi yang telah meneroka dan membangunkan penempatan di kawasan berkenaan sebelum penubuhan universiti itu pada 18 Mei 1970.

“Pada pagi ini kita bertuah kerana mereka yang sekarang menetap di Kampung Sungai Buah Dengkil dapat bersama-sama memeriahkan jamuan Aidilfitri ini.

“Saya berharap semua warga UKM terus mempamerkan semangat yang tinggi untuk meningkatkan kecemerlangan UKM.

“Semoga kemeriahan suasana hari raya ini terus menjadi medan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan yang erat buat semua warga UKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Raya peringkat UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini.

Hadir sama, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada majlis sama, UKM menerima sumbangan zakat korporat daripada Maybank Islamik sebanyak RM60,000.