Categories
SELANGOR

Zurinah terkilan pihak pertikai elaun sasterawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menyifatkan pemberian elaun kepada penerima anugerah sasterawan sebagai tidak wajar kerana terlalu tinggi.

Zurinah yang juga dikenali dengan nama pena Haniruz berkata, pemberian elaun sebanyak RM5,000 itu bukanlah satu isu memandangkan ia sudah dilaksanakan di negara maju lain.

Katanya, masyarakat perlu menerima dengan hati terbuka kerana ramai pihak tidak mengetahui bahawa penggiat sastera melalui detik sukar dalam menghasilkan ‘buah tangan’ kepada pembaca.

“Sebenarnya elaun untuk Sasterawan Negara adalah satu perkara biasa di negara seperti Jepun, Korea termasuk Thailand. Mereka memberi sara hidup kepada sasterawan dan perkara ini tidak pernah terjadi di Malaysia.

“Apabila elaun ini diberi, bermakna kerajaan sudah mengikut negara maju lain yang menghargai seniman dan sasterawan mereka…tetapi melihat reaksi rakyat yang mempertikai, pemikiran masih belum maju walaupun kerajaan mahu menjadikan negara yang menghargai ilmu serta seniman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Malam Silaturrahim Aidilfitri & Baca Puisi Bumbung @ Shah Alam IDE, di perkarangan Pejabat Institut Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pada masa sama, penulis dan penyair yang mula dikenali dengan sajak ‘Sesayup Jalan’ itu berkata, sokongan dan bantuan daripada kerajaan sememangnya diperlukan sebagai penyuntik semangat untuk terus bergiat aktif dalam bidang penulisan seterusnya menjadi seorang sasterawan tulen.

Akui Zurinah yang pernah mengungguli Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004, sasterawan juga perlu tekun dalam menulis tanpa memikirkan keuntungan sama ada daripada segi fizikal mahupun material.

“Apabila sasterawan tidak menulis, maka mereka tiada hasil pendapatan. Jadi, pendapatan sasterawan itu dari mana kalau tak dibantu sehingga menyebabkan seseorang sasterawan harus bekerja untuk hasilkan sastera. Masa untuk berfikir itu sudah berkurang kalau bekerja.

“Sebab itu elaun kerajaan beri ini sangat berguna dan berharap ia berterusan untuk membantu meningkatkan industri sastera. Kalau tanya sasterawan, sudah tentu mereka akan berterusan menulis,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan elaun RM5,000 untuk penerima anugerah Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan RM35,000 kepada Kementerian Pendidikan untuk bayaran itu mulai bulan depan hingga Disember ini.

Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik pemberian terbabit dan dikatakan lebih baik diberi kepada yang lebih memerlukan seperti bekas tentera, nelayan atau bilal masjid.

Ada juga berpendapat bahawa elaun itu sepatutnya diberikan sejak pentadbiran BN lagi memandangkan golongan sasterawan sudah lama diabaikan.