Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Rakyat boleh beri cadangan di laman sesawang khas

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Orang ramai dipelawa untuk menyumbang cadangan masing-masing bagi penyediaan input Belanjawan 2020 secara dalam talian di laman sesawang khusus – belanjawan2020.treasury.gov.my mulai 9 Ogos sehingga 11 September ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia bagi membolehkan semua lapisan masyarakat turut sama terbabit mengemukakan pandangan selaras dengan usaha kerajaan membina negara dan menyejahterakan rakyat.

“Justeru, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input atau cadangan di laman sesawang khas belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sejajar usaha itu, Guan Eng berkata, kerajaan sudah menganjurkan Majlis Konsultasi Bajet iaitu forum utama untuk pelbagai pihak mewakili sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi menyumbang idea serta cadangan konstruktif untuk dipertimbang sebagai input dalam merangka strategi juga langkah berkaitan belanjawan.

“Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan turut diadakan bersama kerajaan negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta kementerian bermula esok (9 Ogos),” katanya.

– BERNAMA