AMPANG, 17 OGOS : Sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO), Girl2Leader Malaysia landasan terbaik untuk golongan remaja wanita terlibat dalam dunia kepimpinan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.
Amirudin berkata, beliau memuji inisiatif NGO terbabit yang sentiasa berusaha untuk menarik lebih ramai wanita muda menjadi pemimpin.
“Agak jarang kita dapat lihat keterlibatan remaja wanita dalam kepimpinan.
“Malah, kebanyakan mereka sebelum ini sebenarnya mempunyai bakat namun hari ini saya turut berkongsi beberapa perkara atau sifat semulajadi yang mungkin sedikit sebanyak dapat dijadikan inspirasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas program #SpeakToLead by Girl2Leader Malaysia di Common Ground Ampang, di sini, hari ini.
Terdahulu, Amirudin turut berkesempatan meluangkan masa hampir lebih dua jam bagi berkongsi pengalaman dan pandangan serta kata semangat kepada remaja wanita berkenaan tips menjadi pemimpin.
Girl2Leader, sebuah organisasi yang diwujudkan khas bagi melatih remaja wanita menjadi pelapis politik pada masa hadapan berikutan Malaysia masih ketinggalan apabila jumlah pemimpin politik wanita dilihat masih kekurangan dan kebelakang berbanding negara lain.
Program itu melibatkan remaja berusia dari 16 hingga 25 tahun daripada pelbagai bidang dan kaum.
Kesemua ahli akan menjadi penggerak komuniti serta pemimpin masyarakat dan negara pada masa akan datang.