Categories
AGENDA NASIONAL

Jalur Gemilang: Semai rasa cinta dari kecil

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Semangat cintakan Jalur Gemilang perlu disemai dalam kalangan masyarakat sejak kecil bagi menanam sikap menghormati bendera Malaysia, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Bendera Malaysia adalah identiti rakyat Malaysia. Jadi, kalau ada salah dan silap (yang dilakukan terhadap bendera), kita kena bagi mereka kesedaran betapa pentingnya (Jalur Gemilang).

“Kita kena tanam sikap ini dari kecil supaya kanak-kanak semua tahu bagaimana kita kena menghormati bendera Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG 2019) di Taman Rekreasi Jalan Jambu Golok, Segambut, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran dan Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erwin Khairul Ahmad.

Segambut menjadi destinasi Ke-58 KMJG 2019. Konvoi KMJG yang disertai 62 kenderaan termasuk 17 pacuan empat roda, 30 motosikal berkuasa tinggi serta 15 motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 133 orang peserta akan melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer keseluruhannya, signifikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, kemerdekaan dikecapi sesebuah negara boleh tergugat oleh anasir dalaman jika perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama tidak diberi perhatian.

“Seluruh rakyat Malaysia adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia terus merdeka. Hakikatnya kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman daripada segala ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara,” katanya.

-BERNAMA