Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Amirul Ashraff selamat dikebumi

TAIPING, 15 OGOS: Jenazah pelajar Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar yang maut selepas dipercayai tergelincir dari tingkat 23 pangsapurinya di Sydney, Australia selamat dikebumikan semalam.

Ayah pelajar itu, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata jenazah Amirul Ashraff dikebumikan selepas waktu zohor di Sydney.

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) menghubungi saya semalam pada 11 pagi (waktu Malaysia) memaklumkan pengebumian anak saya sudah diselesaikan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada MARA kerana mengendalikan urusan pengebumian anak saya dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Kampung Tersusun Tekah dekat sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang penuntut Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang menjadi kediamannya di Sydney, Australia.

Amirul Ashraff, 22, pelajar tajaan MARA berasal dari Taiping adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology of Sydney, Australia.

Berhubung laporan bedah siasat, Md Azhar yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia berkata, pihaknya belum menerima maklumat berkenaan.

“Saya juga belum bercadang untuk menziarahi pusara anak kerana masih dalam kesedihan,” katanya.

-BERNAMA