Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM100 juta bantu pekebun sawit peroleh MSPO

JERANTUT, 4 OGOS: Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta membantu pekebun kecil kelapa sawit mencapai tahap Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bagi meningkatkan nilai komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok memohon supaya pekebun kecil merebut peluang untuk mendapatkan pensijilan itu secara percuma, yang kini dilanjutkan tarikh permohonan sehingga 31 Disember.

“Apa yang penting, mereka berdaftar sebelum tarikh akhir kerana tempoh memproses permohonan boleh mencapai sehingga empat bulan. Mereka yang sudah mendaftar (proses belum selesai sehingga akhir tahun) masih mendapat manfaat ini.

“Setakat ini, jumlah mereka yang mendapat pensijilan MSPO masih rendah menyebabkan kita menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kebaikan pensijilan ini seperti yang dilakukan di Pahang sebelum saya ke Sabah,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog bersama Penanam Sawit Pahang di dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.

Setakat 30 Jun lepas, hanya 42 peratus atau 2.45 juta hektar daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO meliputi 2.1 juta hektar ladang dan 386,000 hektar milik pekebun kecil dengan paling tinggi di Kedah, Sarawak dan Sabah, katanya.

Bagi tempoh sama, 244 kilang buah sawit di negara ini dan 124 daripada 162 kelompok penanam sawit mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat sijil itu dengan penyertaan 12,000 pekebun kecil melibatkan keluasan kebun 44,000 hektar.

“Di Pahang, hanya 36 peratus kawasan yang ditanam kelapa sawit mendapat pensijilan MSPO, iaitu masih rendah dan saya akan berjumpa Menteri Besar tidak lama lagi bagi mendapatkan sokongan untuk membantu kami meningkatkan jumlah ini.

“Mungkin kita tidak sempat mencapai sasaran 100 peratus memperoleh MSPO pada akhir tahun ini, namun kita berharap boleh mencapai jumlah peratusan tinggi supaya pihak antarabangsa melihat usaha kerajaan dan penanam sawit dalam isu ini,” katanya.

Teresa berkata, pensijilan MSPO membolehkan kelapa sawit Malaysia dieksport ke lebih banyak negara di Eropah dan Jepun, selain pasaran sedia ada iaitu India dan China, sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka yang terlibat dalam industri itu.

“Pensijilan MSPO memastikan penanaman kelapa sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian yang baik yang diterimapakai di peringkat antarabangsa.

“Pengeluaran minyak sawit secara mampan penting bagi perdagangan global minyak sawit kerana negara maju memberi keutamaan pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya.

– BERNAMA